MIRI, 06 NOVEMBER 2023: Usaha berterusan dalam pengumpulan, pemuliharaan dan penyebaran maklumat bagi memastikan kesinambungan warisan tradisional dan budaya Sarawak harus dikembangkan dengan lebih jauh sehingga ke peringkat global.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Rosey Yunus menjelaskan pendekatan yang digunakan perlu mengikut peredaran semasa seperti media sosial dan Kecerdasan Buatan (AI) bagi memperkenalkan kekayaan budaya, seni kreatif dan peninggalan sejarah kepada dunia.
“Jadikan Festival Sarawakiana sebagai platform yang hebat untuk memperkenalkan kepada dunia kekayaan budaya, seni kreatif dan peninggalan sejarah untuk tujuan penyelidikan, pembangunan, pengekalan dan pemantapan.
“Saya percaya dengan segala inisiatif bagi memelihara dan menyebarluaskan koleksi kandungan tempatan kita iaitu Sarawakiana seperti Festival Sarawakiana dan platform media sosial serta portal Sarawakiana, kita mampu mengangkat usaha kita ini ke peringkat global,” jelas beliau dalam Majlis Penyempurnaan Festival Sarawakiana 2023 Pustaka Negeri Sarawak, Miri pada Sabtu.
Sehubungan itu, beliau yakin sekiranya usaha tersebut diteruskan, ia bukan sahaja memperkayakan budaya komuniti tempatan tetapi juga mencipta lebih banyak peluang aktiviti ekonomi Sarawak di pasaran dalam dan luar negara dengan menyumbang kepada pengwujudan perniagaan, keusahawanan dan pekerjaan baharu kepada masyarakat.
Untuk makluman, Festival Sarawakiana diadakan bermula pada 2 sehingga 5 November 2023 bertemakan ‘Tradisi Kita, Khazanah Kita’ yang turut menyumbang kepada kejayaan pemeliharaan dan pengembangan kandungan tempatan Sarawakiana dalam memperkasa warisan budaya Sarawak.
Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengurusan Pustaka Negeri Sarawak; Datuk Dr. Abang Abdul Rauf Abang Zen, Pengurus Wilayah Pustaka Negeri Sarawak, Miri; Razak Rambili, Pengasas D’Melya Pua Pereka Fesyen dan Usahawan; Datin Sri Melia Gelen, Pereka Fesyen Sarawak; Neng Kho Razali dan Pengusaha Kaneth Legacy; Stanley Wan-UKAS