More
    Home Wanita PBB DUN Demak Laut Semakin Matang Berpolitik

    Wanita PBB DUN Demak Laut Semakin Matang Berpolitik

    KUCHING, 07 Ogos 2019 (SNN)- Wanita PBB DUN Demak Laut semakin matang berpolitik. Ini dapat dilihat apabila mereka mempunyai wawasan yang tinggi dalam menentukan hala tuju politik Sarawak. Keterlibatan dan kesetiaan wanita dalam politik tidak perlu dipertikaikan lagi termasuk apa yang berlaku pada hari ini.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni berkata jika sebelum ini mereka dikatakan sebagai pelengkap kepada kaum lelaki dalam berpolitik, tetapi hari ini mereka sudah menjadi penentu kepada masa depan politik.

    “Peralihan Kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU14) lepas telah memperlihatkan kebangkitan mereka apabila bersuara lantang dalam mengkritik Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan yang telah memungkiri manifesto mereka kepada rakyat.

    “Mereka juga menggesa Kerajaan Persekutuan mengembalikan kuasa dan hak Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Sarawak bagi masa depan Sarawak.

    “Walaupun PBB telah mengambil keputusan keluar daripada Barisan Nasional (BN) dan berdiri bersama Gabungan Parti Sarawak (GPS), Wanita PBB terus bersama dan berikrar untuk terus memperjuangkan agenda PBB dan GPS dalam pilihan raya akan datang,” katanya semasa mempengerusikan Mesyuarat Wanita PBB DUN Demak Laut Kali Ke 5 di sini, Ahad lepas.

    Dr Hazland turut tidak menafikan bahawa Wanita PBB DUN Demak Laut memainkan peranan penting dalam menentukan kemenangan calon PBB dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) dan PRU sebelum ini.

    “Mereka bukan sahaja membantu dalam menarik lebih banyak sokongan terhadap calon PBB, tetapi juga penentu kepada kemenangan besar dalam setiap pilihan raya.

    “Mereka telah buktikan dalam setiap pilihan raya sehingga telah memberikan kemenangan besar kepada calon PBB dalam setiap pilihan raya di semua kawasan Daerah Mengundi.

    “Dua keadaan ini mendorong keterlibatan wanita dalam politik yang kini dianggap sangat penting dan boleh mempengaruhi keputusan pilihan raya,” tambahnya.

    Atas sebab itu, beliau kini berusaha untuk memastikan keterlibatan wanita dalam ekonomi perlu juga dipertingkatkan demi meningkatkan pendapatan dan kelangsungan hidup.

    “Setiap minggu kita telah mengadakan Kursus Pensijilan dan Digital di semua ranting. Pesertanya terdiri daripada semua wanita di setiap kampung.

    “Di sini, saya mahu setiap wanita di kawasan DUN Demak Laut mempunyai ilmu dalam perniagaan dengan menggunakan media sosial sebagai alat untuk memasarkan perniagaan.

    “Dengan cara ini, kita tidak akan ketinggalan dalam menikmati peluang perniagaan di era digital,” katanya.

    Beliau juga memaklumkan Wanita PBB DUN Demak Laut aktif dalam kerja-kerja kebajikan di setiap kawasan di DUN Demak Laut.

    “Tahniah sekali lagi kepada Wanita PBB DUN Demak Laut yang selama ini telah banyak membantu program-program anjuran Pusat Khidmat DUN Demak Laut khususnya melibatkan kerja-kerja kebajikan seperti membantu mengenal pasti golongan asnaf seperti warga emas, ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU), anak yatim, pesakit kronik dan fakir miskin dalam menyampaikan sumbangan.

    “Turut dilaksanakan ialah menyampaikan sumbangan kepada keluarga arwah yang telah kehilangan ahli keluarga,” ujarnya.

    Dr Hazland turut melahirkan rasa terima kasih di atas sokongan yang diberikan wanita kepada PBB dan perjuangan Ketua Menteri dalam mempertahankan hak Sarawak.

    “Kita perlu bersama Ketua Menteri Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg dalam mempertahankan hak Sarawak seperti Perjanjian Malaysia 1963, OMO 58 dan pembangunan berterusan negeri,” katanya.

    Turut hadir Ketua Wanita PBB DUN Demak Laut Rokiah@Fatimah binti Tamben dan Ketua Wanita PBB peringkat ranting DUN Demak Laut.

    Dr Hazland semasa mempengerusikan Mesyuarat Wanita PBB DUN Demak Laut Kali Ke 5

    Leave A Reply

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    Must Read

    Ilmu pendidikan merupakan ‘senjata’ utama dalam memperkasa daya saing agar tidak...

    0
    KUCHING, 24 APRIL 2025: Masyarakat Melayu di Sarawak perlu melengkapkan diri dan anak-anak mereka dengan ilmu pengetahuan serta kemahiran bagi memastikan mereka mampu bersaing...