BETONG, 09 OKTOBER 2023 (SNN): Penambahan kerusi parlimen di Sarawak dengan majoriti 1 per tiga dari kerusi parlimen bagi Sabah dan Sarawak khususnya penambahan di kawasan Bahagian Betong amat penting susulan kawasan berkenaan yang agak besar dan logistik yang luas.
Sehubungan itu, satu perbincangan bakal diadakan berkaitan pembentangan usul mengenai penambahan tiga kerusi Parlimen baharu melibatkan kawasan Betong dan beberapa penambahan kerusi parlimen kawasan lain di seluruh Sarawak.
Premier Sarawak merangkap Yang Dipertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB); Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, usul berkenaan akan dibincangkan dengan pemimpin kawasan Betong sebelum keputusan dibuat.
“Kita akan mengkaji bukan sahaja untuk kawasan Betong malah untuk seluruh Sarawak dan kita akan adakan satu jawatankuasa di peringkat PBB untuk kita memohon usul tersebut kerana keputusannya ditentukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” jelasnya dalam sidang media selepas Konvensyen Khas PBB Zon Betong pada Ahad.
Sebelum itu, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merankap Naib Yangdi-Pertua Parti PBB, Datuk Julaihi Narawi telah mengusul perkara tersebut.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa permohonan penambahan kerusi Parlimen baharu di seluruh Sarawak turut dibincangkan berasaskan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1962.
“Perkara ini ada dalam IGC, walaupun tidak disebut secara spesifik dua pertiga kerusi (keseluruhan Parlimen) dalam laporan tersebut tetapi suara kita mesti diambil kira,” jelasnya lagi.
Terdahulu, Datuk Julaihi turut membentangkan lapan usul lain sempena konvensyen tersebut yang rata-rata memberi sokongan penuh kepada visi dan misi Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari dalam mentadbir Sarawak ke arah ekonomi maju selaras dengan PCDS 2030.
Hadir sama, dua Timbalan Premier Sarawak; Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak; Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak; Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak; Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Kerja Raya; Dato Sri Alexander Nanta Linggi dan Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak; Dato Gerald Rentap Jabu dan dif kenamaan lain.-UKAS