More
    Home Business Usahawan wanita bangkit menjana pendapatan dengan hasil tanaman sayuran terung selepas bercerai.

    Usahawan wanita bangkit menjana pendapatan dengan hasil tanaman sayuran terung selepas bercerai.

    KUCHING, 17 DISEMBER 2021 (SNN) : Seorang ibu tunggal di sini nekad untuk kembali bangkit menjana pendapatan dengan mengusahakan perniagaan melalui hasil kebun terung yang ditanam secara komersial selepas gagal dalam perkahwinannya tiga tahun lalu.

    Memetik laporan daripada Kosmo, usahawan wanita muda, Noor Zuffika Aida Rosgi, 26 tahun, yang mula mempelajari kaedah menanam melalui Jabatan Pertanian kini berjaya mengusahakan lebih 1,100 polibeg pokok terung dan mampu memungut hasil sebanyak 150 kilogram sehari untuk dipasarkan kepada pemborong meskipun baru menceburi bidang itu empat bulan lalu.

    Dia yang mesra disapa dengan panggilan Aida juga berkata, bagi memulakan perniagaan berasaskan pertanian menerusi teknologi fertigasi itu, dia melaburkan modal sebanyak RM25,000 selepas berjaya membuat pinjaman dengan Amanah Saham Nasional Berhad serta ahli keluarganya dan tidak menyangka hasilnya sangat memberansangkan.

    Tambahnya lagi, rutin harian yang perlu dilakukan adalah dia akan membersih­kan kebun dan mengutip hasil sayur terung bermula pada pukul 7 pagi setiap hari sebelum memasarkan tanaman itu kepada pemborong di bandar Gua Musang.

    “Saya mula berminat menjadi petani selepas melihat tidak ramai golongan wanita muda berani menceburkan diri dalam bidang pertanian dan itu merupakan satu cabaran yang pada akhirnya nanti pasti akan membuahkan hasil.

    “Saya juga harus bersemangat untuk mencari pendapatan sendiri, ke­rana selepas bercerai saya banyak bergantung kepada keluarga untuk perbelanjaan harian bersama seorang anak lelaki berusia lima tahun dan Alhamdulillah dengan hasil daripada meniaga berasaskan hasil pertanian ini saya mampu menyara keluarga,” katanya ketika ditemui media Kosmo! di Kampung Jeram Tekoh.

    Hasil tuaian sayuran terung yang memberansangkan mampu menjana pendapatan yang lumayan-Sumber Kosmo.

    Menurut Noor Zuffika Aida lagi, harga pasaran terung ketika ini dianggarkan RM3 sekilogram dan dia menjangkakan dapat menuai hasil terung sebanyak tiga tan metrik pada hujung tahun ini.

    Kejayaan Aida yang mampu bangkit semula selepas diceraikan suaminya tiga tahun lalu ini membuktikan golongan wanita khususnya harus mampu dan mempunyai kekuatan untuk menjana pendapatan sendiri dengan menceburkan diri dalam bidang perniagaan. Sejajar dengan arus permodenan kini seharusnya teknologi-teknologi yang canggih yang sedia ada seharusnya mampu dimanfaatkan sebaiknya dalam membina empayar perniagaan sendiri agar dapat membuktikan bahawa wanita juga mampu berjaya dan bukannya terus lemah.

    Leave A Reply

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    Must Read

    Pembinaan lapangan terbang baharu di Kuching akan menjadi nilai tambah daya...

    0
    KUCHING, 25 DISEMBER 2024: Lapangan terbang antarabangsa baharu yang dicadangkan di Kuching akan menjadi nilai tambah dalam meningkatkan daya tarikan Sarawak untuk perniagaan, pelaburan...