More
    Home Sarawak Limbang Usaha membangunkan Daerah Lawas terus menjadi keutamaan Kerajaan Sarawak

    Usaha membangunkan Daerah Lawas terus menjadi keutamaan Kerajaan Sarawak

    LAWAS, 20 FEBRUARI 2024: Usaha merancakkan pembangunan di seluruh negeri ini terutamanya Daerah Lawas terus menjadi fokus kerajaan Sarawak pada tahun ini.

    Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, penekanan kini diberikan kepada pembangunan yang dilaksanakan secara seimbang memandangkan struktur Sarawak yang begitu luas.

    Katanya, tumpuan juga diberikan kepada peningkatan pendapatan isi rumah kerana masih terdapat masyarakat berada di bawah paras kemiskinan dan bergantung kepada bantuan.

    “Sebab itu kita mahu tumpukan kepada bagaimana untuk merancakkan lagi pembangunan termasuk di bahagian Limbang dan Lawas ini seperti jalan raya ‘Sarawak-Sabah Link Road’ yang tidak melalui negara Brunei Darussalam.

    “Dalam tahun ini kita akan mulakan pelaksanaan ‘Northen Coastal Highway’ yang mana pelaksanaannya dibahagikan kepada lima bahagian. Begitu juga untuk jalan raya menuju ke Ba’kelalan terus ke sempadan.

    “Yang pasti, ini akan memberi kemudahan kepada kita terutamanya perdagangan rentas sempadan. Ia berpotensi untuk kita menambah baik dari segi perdagangan dan perusahaan,” katanya dalam Program MYSED Go Rural & Youth Entrepreneur Setup (YES) 2024, di Dewan Serbaguna Kampung Awat-Awat, Sundar pada Sabtu.

    Orang ramai menyambut ketibaan YAB Timbalan Premier -foto UKAS

    Dalam pada itu, Datuk Amar Awang Tengah menjelaskan Lawas akan mempunyai lapangan terbang baharu di mana pembinaan fasa pertama akan dilaksanakan pada tahun ini.

    “Dengan adanya kemudahan seperti ini, kita juga merancang untuk melaksanakan pelan induk yang sudah kita buat. Itulah matlamat kita dan selain itu dapat kita menarik pelaburan dari luar dan dalam (Sarawak).

    “Ini juga akan memberi peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana untuk terus berkembang,” tambahnya.

    Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari menyatakan tumpuan turut diberikan kepada golongan muda dalam menitikberatkan aspek pendidikan dan pembelajaran yang merupakan elemen penting khususnya bagi melahirkan generasi berkualiti.

    “Pada masa ini juga kita menekankan untuk menambah pendapatan dan keluar daripada perangkap kemiskinan. Sebab itu kita mahu anak kita berpendidikan dan berkemahiran.

    “Ini penting dalam peluang pekerjaan masa kini. Anak muda hari ini adalah aset harapan untuk menyambung usaha kita. Kita mesti mempunyai sahsiah, berakhlak tinggi dan mempunyai semangat untuk terus maju,” ujar beliau lagi.

    Terdahulu, turut diadakan pertandingan bola sepak 9 sebelah, sepak takraw, tarik tali dan pertandingan lumba bot laju serta penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan TikTok.

    Hadir sama, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak; Datuk Dr Ripin Lamat, Ahli Parlimen Lawas; Dato Henry Sum Agong, Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak; Morshidi Fredrick serta tetamu lain.-UKAS

    Leave A Reply

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    Must Read

    PETROS kekal sebagai aggregator tunggal sah di Sarawak-Julaihi

    0
    KUCHING, 14 NOVEMBER 2024: Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) terus mengukuhkan peranannya sebagai agregator gas tunggal di Sarawak dengan menandatangani beberapa Perjanjian Jualan Gas (GSA)...