KUCHING, 11 APRIL 2021 (SNN) : Orang ramai sebaiknya tidak perlu keliru diatas penggunaan terma ‘Wilayah’ dan ‘Wilayah Persekutuan selepas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini semasa membuat lawatan kerja ke Sarawak menyebut Sarawak sebagai wilayah dan bukannya sebuah negeri di dalam Malaysia.
Mengulas lanjut tentang pernyataan tersebut, Menteri Belia dan Sukan Sarawak Datuk Karim Hamzah menjelaskan secara peribadi bersetuju atas pandangan YAB Perdana Menteri tersebut kerana sekiranya dilihat secara mendalam sejarah penubuhan Malaysia, Sarawak bukanlah disatukan dengan negeri-negeri yang ada di Semenanjung Malaysia akan tetapi disatukan bersama Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Singapura dan Sarawak pada tahun 1963.
“Semasa penubuhannya kita lihat Sabah, Sarawak, Singapura dan Tanah Melayu masing-masing diwakili oleh satu wakil sahaja dan bukannya setiap negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu ada seorang wakil. Disebabkan itu, apa yang kita lihat sekarang ini adalah hasil cantuman atau gabungan daripada tiga wilayah selepas Singapura dikeluarkan dari Persekutuan Malaysia yang akhirnya membentuk sebuah negara bernama Malaysia.
“Oleh itu, apa yang dinyatakan oleh Perdana Menteri itu adalah rasional kerana Sabah dan Sarawak tidak sepatutnya dilayan sebagai sebuah negeri dengan negeri-negeri yang lain di tanah semenanjung dan saya amat bersetuju kita (Sarawak) patut dipanggil dengan nama lain contohnya penggunaan wilayah,” katanya ketika berucap pada sidang media Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Belia Sarawak baru-baru ini.
Tambahnya lagi, sekiranya perkara ini muktamad Kerajaan Persekutuan terpaksa menggubal atau meminda undang-undang yang ada supaya perkara-perkara ini dapat dimaktubkan dalam Perlembagaan Malaysia dan penyesuaian terma-terma ini dapat dilakukan.
Ujar beliau, penggubahan terma wilayah ini kelak memerlukan pengkajian yang mendalam dan banyak lagi perka-perkara yang perlu diubahsuai agar tidak berlakunya kekeliruan dalam kalangan rakyat Malaysia terhadap status itu kelak.