SIBU, 18 DISEMBER 2023: Universiti Teknologi Sarawak (UTS) memainkan peranan penting dalam menjayakan objektif Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, antara pemboleh ubah dalam menjayakan PCSS 2030 adalah berkaitan pendidikan dan pembangunan modal insan.
“Peranan UTS dalam domain ini patut diberi perhatian kerana universiti ini bukan sahaja melahirkan ramai graduan tetapi juga secara konsisten membentuk golongan profesional yang berkualiti dan mendapat permintaan tinggi dalam pasaran kerja,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan Majlis Konvokesyen UTS Ke-8 pada Ahad.
Pada majlis itu, seramai 297 graduan menerima ijazah, termasuk tiga orang menerima ijazah doktor falsafah (PhD), 26 penerima ijazah sarjana dan selainnya ijazah sarjana muda.
Premier Sarawak yang juga Pro Canselor UTS menambah, UTS turut diiktiraf sebagai institusi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) terkemuka di negara ini.
“Selain itu, universiti ini juga telah melahirkan graduan yang berjaya menceburi bidang keusahawanan, bukti pendidikan berkaliber yang diberikan oleh UTS,” tambahnya.
Dalam pada itu, Datuk Patinggi Abang Zohari sekali lagi menekankan kerajaan Negeri akan memberi pendidikan percuma kepada lebih 25,000 bakal pelajar di semua universiti dan institusi pengajian tinggi milik kerajaan Sarawak bermula dari 2026.
“Pendekatan pemikiran ke hadapan ini membuktikan dedikasi kerajaan untuk mewujudkan peluang pendidikan dan melahirkan aspirasi generasi akan datang,” katanya.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah UTS; Datuk Dr Annuar Rapa’ee dan Naib Canselor UTS Profesor; Datuk Dr Khairuddin Ab Hamid.-UKAS