KOTA SAMARAHAN, 12 SEPTEMBER 2023 (SNN): Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) Sarawak telah memberi pentauliahan kepada Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) untuk menjalankan kursus-kursus kompetensi berkaitan tenaga solar.
Antara kursus yang ditawarkan oleh UNIMAS dalam bidang solar adalah ‘wireman’ dan ‘chargeman’ yang mampu memenuhi permintaan tenaga pakar dalam reka bentuk pemasangan sistem solar di Sarawak pada masa akan datang.
Menterinya Datuk Julaihi Narawi berkata, masalah kekurangan tenaga pakar dalam bidang tersebut sudah mempunyai penyelesaian awal melalui kerjasama bersama pihak UNIMAS.
“Menyedari hal sedemikian, kementerian saya melalui Unit Merinyu Elektrik telah bekerjasama dengan Fakulti Kejuruteraan UNIMAS untuk memperkenalkan modul dan silibus bagi kursus rekabentuk sistem solar,” jelas beliau semasa berucap dalam Majlis Penyerahan Sijil Akreditasi Kursus Reka Bentuk Sistem Solar Photovoltaic kepada UNIMAS pada Isnin.
Datuk Julaihi menambah, kerjasama ini mampu melahirkan lebih ramai tenaga pakar dalam mereka bentuk sistem solar bagi memastikan teknologi terkini dimanfaatkan sepenuhnya.
Untuk makluman, UNIMAS telah diakreditasikan untuk menjalankan kursus tersebut pada Jun 2023 yang menjadikan UNIMAS sebagai institusi pertama di Sarawak untuk menjalankan kursus tersebut.
Selain UNIMAS, Unit Elektrik Merinyu Bahagian Bekalan Elektrik MUT juga telah memperkenalkan Sijil Kompetensi sebagai Chargeman L4 yang kini telah melahirkan 126 ‘competent person’ yang berdaftar.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata Sarawak kini sedang berusaha dalam mengurangkan kebergantungan kepada pihak luar untuk menghasilkan tenaga mahir serta kepakaran dalam bidang solar.
“Kita harus mengambil initiatif untuk melatih rakyat tempatan bagi memenuhi keperluan industri solar yang dijangka akan berkembang dengan pesat,” ujarnya lagi.
Di akhir ucapannya, beliau amat berterima kasih dengan usaha UNIMAS yang dilihat menyokong dan selari dengan inisiatif kerajaan Sarawak untuk menggalakkan penggunaan sumber solar sebagai tenaga boleh diperbaharui seperti yang digariskan di dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Hadir sama Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak; Dr Hazland Abang Hipni, Naib Canselor UNIMAS; Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi); Profesor Ir Dr Siti Noor Linda Taib, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa); Profesor Dr Ahmad Hata Rasit, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni); Profesor Ir Dr Al-Khalid Othman, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak; Mohamad Fauzi Shahab dan Pengurus Besar Pengurusan Aset Sarawak Energy; Choo Min Chong.-UKAS