LAWAS, 22 FEBRUARI 2022 (SNN) : Ulama dalam konteks ilmu dakwah adalah pendakwah utama, iaitu orang yang mempunyai tanggungjawab yang paling besar dalam hal ehwal berkaitan dengan penyebaran dan penjagaan agama Islam.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, para ulama terdahulu telah menjalankan tugas mereka dalam berdakwah dan menjaga agama Islam dan adalah menjadi tugas para ulama dan mufti membantu pemerintah sebagai umarak dalam memelihara dan menjaga umat Islam.
“Maka, menjadi tanggungjawab berat tugas para ulama dan mufti pada masa kini untuk mengekalkan dan memperkukuhkan hasil usaha para ulama yang terdahulu.
“Ini adalah penting, apatah lagi dalam dunia yang canggih dan sangat rumit serta penuh kompleks,” katanya semasa berucap dalam Tausiyah 2 Mufti “Fatwa Berautoriti Teras Maqasid Syariah” di Hotel Seri Malaysia, Lawas pada Ahad.
Mengulas mengenai fatwa pula, Datuk Amar Awang Tengah berkata, para mufti adalah bertanggungjawab besar di hadapan Allah dan di hadapan rakyat dan pemerintah bagi memastikan kehendak agama dipenuhi dalam kehidupan umat Islam.
“Saya ambil contoh isu terkini yang membelenggu dunia, iaitu Pandemik COVID-19. Isu COVID adalah isu perubatan dan penjagaan nyawa manusia. Penjagaan nyawa manusia adalah termasuk maqasid syariah yang utama.
“Kelambatan dalam memberikan pandangan fatwa pasti boleh menjejaskan nyawa manusia yang terbabit,” ujar beliau lagi.
Pada majlis itu, Mufti Negeri Sarawak Sahibus Samahah Datu Kipli Yassin telah menyampaikan ceramah bertajuk Kewibawaan Fatwa dalam mencapai Maqasid Syariah manakala, penceramah kedua Mufti Negeri Sabah Sahibus Samahah Datuk Bungsu@Aziz Jaafar pula menyampaikan ceramah bertajuk Kepatuhan kepada Fatwa Berautoriti Demi Kesejahteraan Ummah.
Hadir sama Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, Pengarah Mufti Negeri Sarawak Shahibul Fadhilah Mual Suaud, Pemangku Residen Bahagian Limbang Sebi Abang, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok, Ketua-ketua Jabatan, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) daerah Lawas dan imam-imam masjid dan surau.-UKAS.