More
    Home Kampus UKSF produk madu kelulut mampu bersaing setanding dengan Madu Manuka.

    UKSF produk madu kelulut mampu bersaing setanding dengan Madu Manuka.

    KUCHING, 30 SEPTEMBER 2022 (SNN): Sekumpulan penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) berjaya menghasilkan satu sistem penskoran iaitu Unique Kelulut SuperFood Factor (UKSF) bagi produk madu kelulut.

    Memetik Sinar Bestari, pengenalan sistem berkenaan dijangka mampu membantu pengeluar dan penternak madu kelulut dalam memastikan produk yang dihasilkan berkualiti tinggi seterusnya berupaya menembusi pasaran antarabangsa.

    Menurut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr Wan Kamal Mujani, sistem penskoran yang dibangunkan itu tidak terhad untuk keluaran dalam negara saja, tetapi juga untuk negara pengeluar lain dan mereka boleh mendapatkan ‘star’ rating bagi produk keluaran mereka sebagai penanda aras.

    “Kejayaan penyelidikan ini dapat menjadikan madu kelulut yang dihasilkan di negara ini setanding dengan madu Manuka.

    “Madu Manuka sebenarnya sudah lama menggunakan sistem penskoran berasaskan pembuktian saintifik,” ujarnya pada Majlis Pelancaran UKSF, baru-baru ini, seperti dipetik di portal Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Malaysia.

    Penyelidik UKM yang terbabit menghasilkan sistem penskoran UKSF itu ialah Profesor Madya Dr Razinah Sharif dari Fakulti Sains Kesihatan manakala Dr Arnida Hani Teh dan Dr Noorul Syuhada Mohd Razali pula daripada Fakulti Sains dan Teknologi.

    Turut terlibat ialah Profesor Dr Zainab Ngaini dari UNIMAS dan Hisham Yusoff dari industri Bayu Gagah (M) Sdn Bhd.

    Wan Kamal turut menjelaskan, isu lambakan produk madu kelulut di pasaran yang tidak dapat dipastikan keasliannya juga boleh diatasi dengan menggunakan sistem berkenaan.

    “Analisis saintifik yang dijalankan dalam penyelidikan itu dapat membantu penternak kelulut mendapatkan bukti terbaik untuk menyokong kualiti produk madu dihasilkan,” tambahnya.

    Sementara itu, Nik Muhammad Zawawi berkata, dengan adanya sistem berkenaan diharapkan lebih ramai pengusaha akan memberikan sokongan kepada usaha dilakukan penyelidik berkenaan.

    Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Menteri II, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan; Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh dan Prof. Dr. Suzana Shahar; Dekan Fakulti Sains Kesihatan.

    Leave A Reply

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    Must Read

    Pembinaan lapangan terbang baharu di Kuching akan menjadi nilai tambah daya...

    0
    KUCHING, 25 DISEMBER 2024: Lapangan terbang antarabangsa baharu yang dicadangkan di Kuching akan menjadi nilai tambah dalam meningkatkan daya tarikan Sarawak untuk perniagaan, pelaburan...