KOTA SAMARAHAN, 05 DISEMBER 2024: Universiti Teknologi MARA (UiTM) terus mengorak langkah dalam usaha memperkasakan graduan menghadapi cabaran dunia pekerjaan melalui inisiatif strategik yang melibatkan kerjasama penyelidikan dan pertukaran budaya antarabangsa.
Pro-Canselor UiTM, Datuk Abdul Wahab Aziz berkata, UiTM juga komited untuk melahirkan graduan yang relevan, beretika dan berdaya saing.
Jelas beliau, salah satu langkah utama yang diambil adalah membina hubungan erat dengan institusi pengajian tinggi luar negara seperti Tokyo Metropolitan University, Jepun dan Universitas Panca Bhakti, Indonesia.
“Pendedahan kepada komuniti global seperti ini selaras dengan misi UiTM untuk memastikan graduan tidak hanya memenuhi kehendak pasaran tempatan tetapi juga mampu bersaing di pentas antarabangsa,” jelas beliau semasa berucap dalam Sidang Ke-3 Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-100 di Dewan Jubli, UiTM Cawangan Sarawak pada Khamis.
Tambah beliau, hasil daripada pendekatan inovatif ini, UiTM Cawangan Sarawak mencatatkan kebolehpasaran graduan yang memberangsangkan, dengan pencapaian keseluruhan sebanyak 87 peratus.
Katanya, angka ini jelas mencerminkan keberkesanan strategi universiti dalam memastikan graduan dilengkapi kemahiran akademik dan profesional yang relevan dengan keperluan semasa.
Inisiatif UiTM untuk menyediakan pengalaman antarabangsa ini diharapkan akan terus membuka ruang kepada generasi muda yang lebih kreatif dan versatil-UKAS