KOTA SAMARAHAN, 03 APRIL 2024: Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi berkesempatan memeriahkan Majlis Iftar Perdana UNIMAS 2024 bersama para pelajar dan kakitangan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada Selasa.
Ketibaan Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi dan isteri pada jam 6 petang di pekarangan Pusat Islam Tun Abang Salahuddin (PITAS) itu telah disambut oleh Naib Canselor UNIMAS Prof Dr. Ahmad Hata Rasit.
Dalam majlis tersebut, beliau turut menyampaikan sumbangan berbentuk wang tunai daripada UNIMAS kepada enam surau di sekitar Kota Samarahan.
Antara surau yang terpilih adalah Surau Darul Bahagia Kampung Tambirat Ulu, Surau Darul Azam Kampung Lubok Ria Hilir, Surau Darul Solihin Kampung Tanjung Apong, Surau Darul Furqan Kampung Binyuk Baru, Surau Darul Iman Taman Samarindah Baru dan Surau Darul Ukhwah Taman Sri Tuang.
Majlis iftar tersebut merupakan aktiviti tahunan UNIMAS yang diadakan bagi meraikan bulan Ramadan bersama seluruh warga kampus termasuk staf, pelajar serta komuniti setempat.
Program itu juga sekali gus menjadi platform untuk menjalinkan silaturahim dalam kalangan warga kampus bersama komuniti.
Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti; Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie serta tetamu kehormat yang lain.-UKAS