More
    Home Malaysia Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar angkat sumpah sebagai TYT ke-8 Sarawak

    Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar angkat sumpah sebagai TYT ke-8 Sarawak

    KUALA LUMPUR, 26 JANUARI 2024 (SNN): Bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, 78, hari ini mengangkat sumpah menjadi Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Di-Pertua Negeri Sarawak kelapan bagi menggantikan Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang telah tamat tempoh perkhidmatannya semalam.

    Beliau menerima watikah pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al Marhum Sultan Ahmad Shah di Istana Negara.

    Turut berangkat ke istiadat tersebut ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta isteri Tun Dr Wan Junaidi, Toh Puan Sri Fauziah Mohd Sanusi.

    Sebaik menerima watikah beliau, beliau turut dianugerahkan anugerah tertinggi negara, Darjah Kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara (SSM) yang membawa gelaran Tun.

    Beliau yang dilahirkan pada 1 Februari 1946 di Sadong Jaya Simunjan memulakan kerjayanya sebagai pegawai polis sebelum melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang di Universiti Buckingham, United Kingdom.

    Tun Dr Wan Junaidi merakam gambar bersama YDPA dan Raja Permaisuri Agong-Foto UKAS

    Kemudian, beliau memperoleh sarjana dalam undang-undang daripada Council of Legal Education London dan menamatkan PhD dalam Pentadbiran Perniagaan (DBA) dari University of Southern California, Amerika Syarikat.

    Beliau memulakan karier politiknya pada 1987 apabila dilantik sebagai ahli jawatankuasa eksekutif Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Pemuda Cawangan Satok dan menjadi salah seorang naib presidennya.

    Tun Dr Wan Junaidi dipilih untuk bertanding di Batang Lupar pada 1990 dan seterusnya dipilih sebagai Ahli Parlimen (MP) Batang Lupar dan memegang jawatan itu sehingga bertukar kerusi kepada Santubong pada 2004 sehingga bersara daripada politik pada 2021.

    Sebagai ahli parlimen, Tun Dr Wan Junaidi pernah memegang pelbagai jawatan penting dalam Kerajaan Persekutuan, bermula sebagai Timbalan Speaker Parlimen termasuk dilantik sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri.

    Selepas berjaya mengekalkan kerusi Santubong pada pilihan raya umum ke-13 pada 2013, beliau dilantik sebagai Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar dan kemudiannya sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

    Jawatan terakhir beliau dalam Kabinet Persekutuan ialah sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang).

    Tun Dr Wan Junaidi dilantik sebagai Presiden Dewan Negara pada 19 Jun 2023 sehingga beliau meletakkan jawatan pada 19 Januari 2024.

    Selain seorang peguam dan ahli politik yang berjaya, beliau juga seorang penulis prolifik yang telah menulis tujuh buah buku. Selain itu, beliau juga aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan seperti Persatuan Bekas Polis Sarawak di mana beliau menjadi presidennya dari 1990-2001 dan aktif dalam pergerakan Pengakap di mana beliau memegang jawatan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Sarawak sejak 1992. .

    Tun Dr Wan Junaidi berkahwin dengan Allahyarham Datin Sri Fiona Sim Abdullah dan dikurniakan tiga anak perempuan. Beliau kemudian telah berkahwin semula pada 10 Disember 2022 dengan Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.

    Antara kenamaan lain yang hadir pada majlis berkenaan ialah Perdana Menteri; Datuk Seri Anwar Ibrahim, Premier Sarawak; Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Timbalan Perdana Menteri; Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Dato Sri Fadillah Yusof, Speaker Parlimen; Tan Sri Johari Abdul, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak; Tan Sri Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar, Peguam Negara; Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja; Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, Ketua Setiausaha Negara Malaysia; Tan Sri Mohamad Zuki Ali dan Setiausaha Sarawak; Datuk Amar Mohammad Abu Bakar Marzuki dan Peguam Negara Sarawak; Datu Safri Ali.

    Turut hadir juga menteri-menteri persekutuan merangkap ahli-ahli parlimen Sarawak iaitu Menteri Kerja Raya; Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Dato Sri Nancy Shukri, Timbalan Menteri atau Kesihatan; Dato Lukanisman Awang Sauni, Timbalan Menteri Digital; Datuk Wilson Ugak Kumbong, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah; Datuk Rubiah Wang dan Timbalan Menteri Pengangkutan; Datuk Hasbi Habibollah.-UKAS

    Leave A Reply

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    Must Read

    Premier Sarawak ketuai deligasi dalam lawatan kerja rasmi selama lima hari...

    0
    TOKYO, 16 DISEMBER 2024: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg selamat tiba di Tokyo, Jepun...