Kuching, 23 Ogos 2025: Tokoh sejarahwan dan budayawan tersohor, Datu Dr. Sanib Said, tampil membentangkan kertas kerja di Persidangan Penterjemahan Antarabangsa (PPA) Ke-20 di Riverside Majestic Hotel yang dianjurkan oleh Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada 20 Ogos 2025.
Beliau membawa tajuk pembentangan “Pemeliharaan Warisan Melalui Terjemahan: Transliterasi Manuskrip Melayu-Jawi ke Rumi Sebagai Usaha Penyampaian dan Kelestarian Ilmu”.
Dalam pembentangannya, beliau menjelaskan bahawa transliterasi manuskrip daripada tulisan Jawi ke Rumi tidak boleh dilihat hanya sebagai penyalinan aksara semata-mata. Sebaliknya, ia merupakan proses pemindahan makna, pemikiran, serta nilai budaya yang terkandung dalam naskhah berkenaan agar dapat dihayati oleh generasi mendatang.

Beliau menegaskan bahawa transliterasi adalah bentuk terjemahan yang menyentuh bukan sahaja aspek bahasa, tetapi juga dimensi budaya kerana melibatkan pemindahan kefahaman daripada satu zaman ke zaman lain.
Beliau berkongsikan pengalamannya iaitu terdapat banyak penemuan-penemuan perkataan baharu yang diperoleh daripada transliterasi manuskrip-manuskrip Melayu Sarawak.
Antara beberapa penemuan dalam tranlisterasi Jawi-Rumi adalah seperti istilah “Merpati” yang bukan merujuk kepada burung. Ujar beliau, ini kerana tulisan Jawi yang tercatat dalam manuskrip syair negeri Santubong merupakan aksara klasik yang tidak mempunyai tanda wacana iaitu baris dan titik berdasarkan ejaan jawi yang diperkenalkan Pendeta Za’ba.
Dalam manuskrip tulisan jawi Melayu ini katanya ejaan yang sangat jelas menunjukkan huruf mim-ra-pa-ta-ya yang merujuk kepada “marapati” dan bukan “merpati” seperti biasa dikenali di negeri Sarawak.
Hasil kajian lain yang beliau kongsikan adalah “Setelah saya mengkaji nama ini berdasarkan penyelidikan saya di Sumatera dalam bahasa Sanskrit, mara bererti bahaya dan pati bermaksud Raja, inilah erti nama “marapati” kemudian putera baginda bernama Marapati Jipang. Jipang yang merupakan sebuah negeri di Pulau Jawa”.
“Inilah asal usul raja negeri Santubong, daripada penyelidikan saya dalam masyarakat Melayu”, ujarnya.
Beliau antara lain turut menekankan bahawa usaha transliterasi dianggap amat penting untuk memastikan ilmu yang termaktub dalam manuskrip tidak hilang ditelan masa.
Dalam pembentangannya, beliau mengetengahkan dua manuskrip penting warisan Melayu Sarawak iaitu Hikayat Datu Marapati serta Syair Tarsilah Datu Gudam dengan Temenggong Kadir Negeri Saribas. Naskhah tersebut membuktikan bahawa masyarakat Melayu Sarawak telah pun memiliki tradisi penulisan tamadun tinggi iaitu scriptorium.
Daripada hasil penelitian, transliterasi dan terjemahan jelas membuktikan kewujudan tamadun Melayu Sarawak yang menjadi masyarakat Madaniyah terawal di bumi Kenyalang.
