SARIKEI, 16 JANUARI 2025: Transformasi sistem pendidikan di Malaysia terus diperkasa bagi melahirkan barisan pendidik dan murid yang kreatif, inovatif, cekap serta bersemangat.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata, transformasi sistem pendidikan ke arah pendigitalan bukan satu perkara baharu, malah telah diterima hampir di kesemua peringkat pembelajaran, dari tadika sehingga ke institusi pengajian tinggi.
“Pendigitalan pendidikan ini sangat penting kepada Kementerian Pendidikan Malaysia, para pendidik dan masyarakat agar selari dengan perkembangan teknologi semasa.
“Dasar Pendidikan Digital (DPD) bertujuan melahirkan generasi fasih digital yang berdaya saing,” katanya semasa merasmikan Majlis Apresiasi Kecemerlangan SK Sungai Sentebu 2024 di Dewan SK Sg. Sentebu, Sarikei pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan peranan pendidik dalam meningkatkan pengetahuan dan kompetensi digital secara berterusan agar dapat memudahcara dan membantu mencapai keberhasilan murid yang dihasratkan.
Datuk Len berharap pencapaian murid menjadi inspirasi warga SK Sungai Sentebu untuk terus cemerlang sambil menyeru kerjasama kerajaan, pendidik, dan ibu bapa dalam melahirkan generasi berakhlak mulia, berjiwa kepimpinan dan cemerlang akademik.
“Inisiatif kerajaan bukan sahaja menyediakan kemudahan terbaik, tetapi perancangan yang teliti juga penting untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif bagi murid-murid,” ujar beliau.
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Pegawai Pendidikan Daerah Sarikei; Lau Ngie Tung, Guru Besar SK Sungai Sentebu; Nor Hayati Abdulrani serta tetamu lain-UKAS