SEBUYAU, 08 APRIL 2023 (SNN): Tradisi memasak dan mengagih bubur pedas kepada penduduk di kawasan Sebangan setiap kali tiba bulan Ramadan diteruskan pada Jumaat bertempat di Masjid Darul Aman Sebangan.
Program yang diadakan secara bergotong-royong itu disertai oleh ahli jawatankuasa masjid serta jawatankuasa wanita Ranting PBB N27 Sebuyau.
Simbolik perasmian program telah disempurnakan oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Datuk Julaihi Narawi.
Hasil kerjasama semua, sebanyak 1,300 bungkus bubur pedas berjaya disiapkan dan diagihkan mulai jam 5 petang kepada sembilan Kampung Zon Sebangan yang diwakili oleh ketua masyarakat untuk diagihkan mengikut jumlah kampung masing-masing.
Datuk Julaihi ketika ditemui memberitahu, aktiviti seperti ini dapat dilaksanakan lagi sempena Ramadan dan ia juga dapat mengeratkan hubungan silaturahim dan kerjasama semua pihak yang terlibat.
Sebelum majlis berbuka puasa turut diadakan tazkirah Ramadan yang disampaikan oleh Pegawai Dakwah Hikmah, Unit Latihan dan Pembangunan) Al-Fadil Ustaz Haji Sarbini Dahlan.
Turut hadir sama Pegawai Daerah Sebuyau; Ayuradiman Bujang, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak; Syed Mohd Fauzi serta ketua-ketua masyarakat yang terlibat.-UKAS.