LAWAS, 28 APRIL 2023 (SNN): Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mengadakan kunjungan Aidilfitri terhadap pengasas Parti Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini pada Khamis.
Beliau ialah Dato Pengiran Jawa Pengiran Amjah yang kini berusia 96 tahun, antara dua individu penting yang memainkan peranan penting dalam mengembangkan Parti PBB dari Kuching hingga ke Lawas seawal tahun 1962.
Ketika kunjungan itu, Pengiran Jawa berpesan kepada pemimpin parti supaya tidak berpecah belah kerana kuasa.
“Jika kita berpecah dalam parti kerana kuasa, maka kesannya ialah seluruh Sarawak akan berpecah seperti yang kita lihat di Semenanjung,” katanya.
Katanya lagi, Sarawak telah berjaya membuktikan perjalanan parti itu dan negeri ini sempurna dan lancar sehingga membawa pelbagai pembangunan dengan begitu pesat.
Ini dapat disaksikan setiap kali berlaku peralihan kuasa kerana pemimpin dalam parti sedar bahawa mereka perlu menjaga Sarawak dengan baik.
Turut hadir sama dalam kunjungan adalah isteri Datuk Amar Awang Tengah; Dato Dayang Morliah Datuk Awang Daud dan Ahli Parlimen Lawas; Dato Henry Sum Agong.