More
    Home Sarawak Kuching Tiga beradik yatim piatu selepas insiden renjatan elektrik terima bantuan daripada PERKESO...

    Tiga beradik yatim piatu selepas insiden renjatan elektrik terima bantuan daripada PERKESO sehingga umur 21 tahun

    KUCHING, 7 MAC 2022 (SNN) : Tiga beradik yang kehilangan tempat bergantung selepas kematian kedua ibubapa pada 10 Mac lepas dalam satu insiden terkena renjatan elektrik di dalam bilik mandi, telah menerima bayaran faedah dari Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi meringankan beban serta membantu mereka dalam meneruskan kelangsungan hidup.

    Memetik laporan daripada BERNAMA, Timbalan Ketua Eksekutif Perkeso John Riba Marin dalam kenyataan berkata waris kepada mendiang Damian Senin, 46, dan isterinya Ronwina Manbai, 35, telah menerima bayaran Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM2,000 untuk sekali bayar, beserta Pencen Penakat sebanyak RM1,376.00 yang akan dibayar setiap bulan sehingga kesemua mereka mencecah usia 21 tahun atau tamat pengajian ijazah pertama.

    “Sebaik sahaja berita malang tersebut dilaporkan oleh media tempatan, Skuad Perkeso Prihatin Tapah telah mengambil tindakan segera dengan membuat semakan caruman terhadap pasangan suami isteri tersebut.

    “Berdasarkan semakan tersebut, hanya mendiang Damian sahaja yang layak menerima faedah Perkeso menerusi Skim Keilatan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4). Isterinya, mendiang Ronwina hanya memiliki satu bulan caruman, sekali gus tidak layak menerima faedah Perkeso,” katanya.

    Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Timur merangkap MP Serian sempat menyantuni ketiga beradik di Hotel Regalia sebelum mereka berangkat pulang ke Sarawak.-Kredit foto Ismail Abi.

    Sehubungan itu, waris kepada mendiang iaitu Elisa Olivia, 9 tahun, Josseph Rayyan, 8, dan Magdelena, 1, layak mendapat faedah selepas kehilangan kedua ibu bapa yang maut akibat terkena renjatan elektrik di sebuah rumah di Taman Puncak Tingkap, Brincang.

    Menurut kenyataan itu lagi, kedua-dua bayaran faedah tersebut buat masa ini akan disalurkan kepada bapa saudara mereka, Robert Adi yang kini memikul tanggungjawab sebagai ‘ketua keluarga’ dan penjaga tiga beradik malang tersebut, yang kini tinggal di Kota Samarahan, Sarawak.

    Ahli Parlimen Serian merangkap Duta Tugas-Tugas Khas Perdana Menteri ke Asia Timur Datuk Seri Richard Riot, yang turut prihatin dengan nasib menimpa keluarga berkenaan, beliau berkesempatan menyantuni mereka dalam satu majlis di ibu negara.-BERNAMA.

    Leave A Reply

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    Must Read

    Kerajaan Sarawak akan melaksanakan Projek Rural High Speed Broadband di Sebuyau

    0
    SEBUYAU, 27 JANUARI 2025 (SNN): Seramai 122 orang kanak-kanak telah mengambil bahagian dalam program berkhatan beramai-ramai anjuran Parlimen 201 Batang Lupar dan N27 Sebuyau...