LONDON, 16 SEPTEMBER 2022 (SNN): Tidak ada bukti kukuh yang menunjukkan bahawa mendiang Ratu Elizabeth II adalah dari keturunan Nabi Muhammad SAW atau daripada keturunan Bani Hashim di Semenanjung Arab, kata penerbit salasilah golongan bangsawan British kepada Middle East Eye baru-baru ini.
Memetik laporan SinarHarian, penerbit salasilah golongan bangsawan British memberitahu kepada Middle East Eye kenyataan itu bertentangan dengan laporan dan siaran media sosial yang membuat dakwaan selepas kemangkatan Ratu itu pada 8 September lalu di Istana Balmoral, Scotland ketika berusia 96 tahun selepas tahap kesihatannya semakin merosot.
Sebelum ini, teori itu mendakwa bahawa keturunan bekas pemerintah Britain tersebut mempunyai salasilah keluarga Nabi Muhammad SAW melalui seorang puteri Islam pada abad ke-11, Zaida dari Seville iaitu seorang tokoh misteri yang tinggal di Al-Andalus, Semenanjung Iberia.
Dakwaan yang menyatakan Ratu Elizabeth II berketurunan Nabi Muhammad SAW telah dikongsi oleh media British sejak tahun 2018 dan muncul semula selepas kemangkatannya.
Bagaimanapun, Burke’s Peerage iaitu pihak penerbit keturunan golongan bangsawan British dan Ireland sejak tahun 1847 sehingga kini menyatakan ia tidak mempunyai maklumat salasilah yang berkaitan dengan Nabi Muhammad SAW itu.
Laporan akhbar sebelum ini juga memetik Burke’s Peerage sebagai sumber salasilah keluarga diraja yang mengaitkan Ratu Elizabeth II dengan Nabi Muhammad SAW.
Ia berlaku selepas seorang ahli sejarah menulis artikel untuk saluran berita Maghribi yang mengesahkan dakwaan bahawa bekas pemerintah Britain itu adalah berketurunan Nabi Muhammad SAW.
Bagaimanapun, Burke’s Peerage memberitahu Middle East Eye dalam e-mel bahawa dia tidak mempunyai maklumat genealogi yang berkaitan dengan isu tersebut dan menyatakan pihaknya bukan sumber asal salasilah berkenaan walaupun perkara itu telah diulang kali secara salah selama bertahun-tahun.