KUCHING, 22 MAC 2022 (SNN) : Tiada lagi penjarakan fizikal di semua masjid dan surau seluruh negeri Sarawak bagi menunaikan Solat Jumaat, solat fardhu, solat sunat, khutbah dan wirid selepas solat bermula 01 April 2022 ini.
Majlis Islam Sarawak (MAIS) dalam satu kenyataan menjelaskan, manakala kesemua aktiviti pengimarahan masjid dan surau termasuk pengajian, kuliah, ceramah, kursus, bengkel, tadarus, tahlil, berbuka puasa, moreh, khatamal Al-Quran dan lain-lain adalah dibenarkan dengan penjarakan fizikal.
Selain itu, penganjuran aktiviti sosial yang sesuai diadakan di masjid dan surau juga dibenarkan dengan penjarakan fizikal begitu juga dengan proses pengurusan dan pengebumian jenazah yang tiada kaitan dengan Covid-19.
Dalam kenyataan itu juga, MAIS menegaskan Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti pemakaian pelitup hidung dan mulut (facemask) mesti dipakai sepanjang masa, mendaftarkan kehadiran melalui aplikasi MySejahtera dan SOP lain harus dipatuhi.
“Jawatankuasa Pengurusan Masjid dan Surau bertanggungjawab menguatkuasakan pelaksanaan SOP yang telah ditetapkan itu bermula 01 April ini,” tegas kenyataan itu.