KUCHING, 24 SEPTEMBER 2022 (SNN): Kerajaan Sarawak menyasar untuk merealisasikan matlamat ke arah ekonomi hijau di negeri ini menjelang tahun 2030 di bawah Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS 2030).
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg memberitahu, kerajaan Sarawak kini sedang menuju ke landasan ekonomi berasaskan ekonomi hijau.
“Semua projek tenaga hijau tersebut adalah untuk menyokong pembangunan infrastruktur di negeri ini sekaligus menjadi projek contoh bertaraf antarabangsa membabitkan perdagangan tenaga boleh diperbaharui menjelang 2027.
“Dalam tempoh ini, kita perlu mengubah dan memanfaatkan perubahan iklim kepada ekonomi hijau,” katanya semasa berucap dalam Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-60 KKB Engineering Berhad di sebuah hotel di sini pada Jumaat.
Premier Sarawak menambah, Sarawak bertuah kerana mempunyai pelbagai sumber tenaga yang boleh diperbaharui.
Sementara itu, Premier Sarawak memberitahu, negeri ini berjaya menarik pelaburan dari Korea dan Jepun bagi menghasilkan hidrogen komersial menjelang tahun 2027.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Timbalan Premier Sarawak; Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Sarawak; Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi; Datuk Julaihi Narawi, Pengasas dan Pengerusi KKB; Dato Sri Kho Kak Beng, Ketua Pegawai Eksekutif KKB; Kho Pok Tong dan ahli lembaga KKB.-UKAS