KUCHING, 17 OKTOBER 2024: Kecerdasan Buatan (AI) dan data, dilihat sebagai salah satu pemangkin untuk mencapai visi yang telah digariskan oleh Sarawak menerusi Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 terutama dalam pendigitalan ekonomi.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi memberitahu, gabungan kedua-dua elemen ini dapat membantu kerajaan Sarawak mengenalpasti kehendak semasa dalam merangka strategi untuk tindakan seterusnya.
Mengambil contoh peranan AI dan data dalam mencapai visi Sarawak untuk memodenkan sektor tenaga, beliau memberitahu kedua-duanya digunakan untuk membentuk semula sektor tenaga, merevolusikan penjanaan, pengagihan dan konsumsi tenaga tersebut.
“Sebagai contoh, AI membolehkan pengurusan grid pintar dengan efisen dengan memantau dan mengawal aliran elektrik secara langsung.
“Dengan mengintegrasikan sumber tenaga boleh diperbaharui, sistem penyimpanan dan respon kepada permintaan tenaga, AI akan membantu mengimbangkan bekalan dan permintaan serta memaksimumkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui,” kata beliau semasa memberi ucaptama dalam Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak 2024 (IDECS24) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Khamis.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu algoritma AI boleh menganalisis sejumlah besar data daripada sistem tenaga, termasuk grid kuasa dan sumber tenaga boleh diperbaharui yang membawa kepada penggunaan sumber tenaga yang lebih cekap dan pengurangan pelepasan karbon.
Beliau yang juga Menteri Bertanggungjawab ke atas IDECS24 menambah, selain dalam sektor tenaga, AI dan data dapat dimanfaatkan untuk mencapai hasrat kerajaan Sarawak menjadi pengeksport makanan menjelang 2030.
“Dengan memanfaatkan teknologi digital terkini seperti AI, ‘Internet of Things’ (IoT) dan analitik data, Sarawak dapat mempercepatkan proses peralihan kepada pertanian pintar dan tepat.
“Peralihan ini bukan sahaja dapat meningkatkan hasil tanaman dan produktiviti kita, tetapi juga memperbaiki kecekapan pengeluaran dan akses pasaran keseluruhan. Kemajuan ini penting ketika kita berusaha untuk memenuhi agenda keterjaminan makanan untuk Sarawak,” tambahnya.
Menjelas lebih lanjut, Dato Sri Julaihi turut menekankan keselamatan dan privasi data besar turut menjadi kebimbangan utama dunia dalam persekitaran yang kini dipacu oleh data.
“Menurut laporan Cybersecurity Ventures, kos keselamatan siber global adalah sebanyak USD 8.5 trilion yang mana didorong oleh peningkatan insiden serangan perisian, pelanggaran data dan pelbagai lagi jenis penipuan dalam talian sejak 2023.
“Ini mennunjukkan bahawa tanpa kemajuan ketara dalam langkah keselamatan siber, kos jenayah siber boleh meningkat secara mendadak. Trend ini juga menekankan keperluan mendesak bagi organisasi dan kerajaan untuk melabur dalam strategi keselamatan siber, meningkatkan kesedaran awam dan bekerjasama untuk memerangi landskap ancaman yang semakin berkembang,” ujar beliau lagi.
Turut hadir sama ialah Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak; Datuk Liwan Lagang, Pengerusi Sistem Maklumat Sarawak Sdn. Bhd. (SAINS); Tan Sri Datuk Patinggi Dr George Chan Hong Nam, Pengurus Besar Sarawak Media Authority (SMA); Dato Dr Anderson Tiong Ing Heng dan Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUTS); Datu Jafri Lias.