PALESTIN, 03 SEPTEMBER 2021 (SNN) : Atas desakan dan tekanan daripada masyarakat antarabangsa Mahkamah Israel akhirnya akur dan bersetuju untuk membebaskan Anhar Al-Deek dengan jaminan sebanyak 40 ribu shekel atau kira-kira RM51 ribu.
Wanita yang kini tengah sarat mengandung sembilan bulan dan dijangka melahirkan anak keduanya beberapa hari lagi turut dikenakan syarat untuk tidak dibenarkan keluar dari rumah keluarganya setelah dibebaskan dari penjara namun sebelum itu Anhar dijangka akan dibawa ke hospital untuk melakukan pemeriksaan kesihatan dan kandungannya.
Menerusi akhbar Al-Quds News, Anhar dilihat terus melakukan sujud syukur sejurus dibebaskan dan beliau disambut dengan penuh kegembiraan oleh kaum keluarga, sahabat, wakil kerajaan dan wartawan.
Pembebasan Anhar ini dapat dilihat bahawa kempen kesedaran di media sosial seluruh dunia berjaya memberi impak yang besar kepada imej Israel tambahan lagi dengan desakan daripada Liga Arab pada Rabu lalu yang turut mendesak Israel bertanggungjawab sepenuhnya terhadap Anhar.
Dalam masa yang sama, Pertubuhan Masyarakat Awam (CSO) seluruh dunia turut digesa untuk memberi tekanan kepada Israel agar mematuhi undang-undang antarabangsa. Turut diadakan juga petisyen selamatkan Anhar sebagai usaha mendesak rejim Zionis itu bagi membenarkan Anhar melahirkan bayinya di luar penjara.
Terdahulu, Mahkamah Israel tidak meluluskan rayuan keluarganya untuk membebaskan Anhar serta tidak mengendahkan keadaan mangsa yang sedang hamil dan dikatakan beberapa kali mengalami komplikasi.
Anhar dikatakan telah ditahan oleh tentera Israel sejak usia kandungannya lima bulan lagi atas pertuduhan cuba menikam seorang anggota rejim Zionis itu di penempatan haram Zionis.
Wanita berusia 25 tahun itu juga sebelum ini pernah menulis surat dari penjara untuk memohon bantuan kumpulan hak asasi manusia bagi mendesak pembebasannya seterusnya membolehkan beliau bersalin di luar pusat tahanan. Penderitaan yang dialami wanita itu turut mendapat perhatian netizen di seluruh dunia termasuk pertubuhan di Malaysia dengan tanda pagar #SaveAnhar.