KUCHING, 09 APRIL 2025: Ekonomi Sarawak tidak terjejas secara ketara susulan pelaksanaan tarif terhadap barangan import Amerika Syarikat (AS) yang berkuat kuasa pada 9 April 2025.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, hal ini kerana ekonomi Sarawak tidak bergantung kepada pasaran negara berkenaan.
Menurut beliau, antara komoditi utama yang dikeluarkan Sarawak ialah gas asli cecair (LNG) dan minyak kelapa sawit yang dieksport ke negara-negara seperti Jepun, Korea, China dan India.
“Tarif ini tidak menjejaskan Sarawak secara ketara kerana eksport kita ke Amerika Syarikat adalah minimum, manakala komoditi utama kita iaitu LNG kebanyakannya dieksport ke Jepun dan sebahagian lagi ke Korea.
“Komoditi kedua terbesar ialah kelapa sawit yang banyak dieksport ke China dan India. Selain itu, barangan lain juga dieksport ke negara-negara Kesatuan Eropah (EU),” jelas beliau ketika ditemui media selepas menghadiri Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri 2025 anjuran Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED), Dato Sri Naroden Majais pada Selasa.
Mengulas mengenai industri semikonduktor, Aban Johari yang juga ADUN Gedong itu menjelaskan bahawa cip semikonduktor yang dikeluarkan di Sarawak sebahagian besarnya dieksport ke negara-negara Eropah.
“Secara keseluruhannya, industri yang terjejas bagi Malaysia ialah eksport semikonduktor.
“Namun bagi Sarawak, cip semikonduktor kita banyak dieksport ke negara-negara Kesatuan Arab (EU) dan kesannya tidak begitu besar. Sekiranya ada pun, impaknya adalah sangat minimal terhadap industri tersebut,” katanya lagi.
Terdahulu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengenakan tarif timbal balik sebanyak 24 peratus ke atas import dari Malaysia sebagai sebahagian daripada gelombang perang perdagangan global.
Turut hadir sama ke majlis ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak; Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki; Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya; Datuk Ir Aidel Lariwoo; Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan); Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel; serta Ahli Parlimen Batang Sadong; Rodiyah Sapiee-UKAS