KUCHING, 01 APRIL 2023 (SNN): Kerajaan Sarawak bersetuju meluluskan sebidang tanah bagi proses memperbesar kawasan tanah perkuburan Islam Samariang dan membuka dua lagi tapak tanah kubur baharu masing-masing di Matang dan Bako.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, tujuan pembesaran tanah perkuburan ini adalah bagi membolehkan kawasan itu dapat terus digunakan sehingga tahun 2050.
“Pada hari ini kita melihat perkuburan Islam Samariang semakin sesak, bermakna kita perlu membuat satu perancangan untuk membesarkan kawasan perkuburan ini dalam usaha memastikan kebajikan kubur kita terjaga.
“Lokasi pembesaran tapak tanah kubur ini telahpun dikenalpasti yang terletak tidak jauh dari sini dan InshaAllah ianya akan dapat digunakan mungkin sampai tahun 2050 iaitu dalam masa 25 hingga 30 tahun,” ucap beliau ketika merasmikan Kompleks Raudhatul Sakinah Kuching di Tanah Perkuburan Islam Samariang pada Jumaat.
Menjelas lanjut, Premier turut memberitahu dua lagi kawasan tanah perkuburan juga akan dibangunkan masing-masing terletak di Matang dan Bako yang mana struktur kawasan itu nanti selaras dengan apa yang telah dibina di perkburuan Islam Samariang.
“Hal ini kerana kita mahu mewujudkan satu standard dimana data maklumat lokasi perkuburan waris senang untuk dicari dengan adanya sistem lokaliti melalui pemetaan,” tambahnya.
Mengenai pembinaan Kompleks Raudhatul Sakinah, Abang Johari turut menjelaskan dengan adanya kompleks seperti ini segala kelengkapan dan proses pengurusan jenazah akan menjadi lebih sistematik di samping memberi keselesaan kepada waris yang dtang berziarah.
Turut hadir sama adalah Menteri Pelancongan, Seni Persembahan dan Industri Kreatif yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan; Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Setiausaha Kerajaan Sarawak; Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti); Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63, Hubungan Negeri-Persekutuan); Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong; Fazzrudin Abdul Rahman, Yang Di-Pertua Majlis Islam Sarawak (MIS); Datuk Misnu Taha, Setiausaha Kehormat Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS); Tan Sri Datuk Amar (Dr) Abdul Aziz Husain, Ketua Pegawai Eksekutif LAKMNS; Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai serta dif-dif kehormat yang lain.