KOTA SAMARAHAN, 27 JANUARI 2024 (SNN): Penambahbaikan infrastruktur dan sistem bekalan air di Daerah Asajaya dan Sadong Jaya dibuktikan dengan pelaksanaan Projek Rakyat Pakej 2A yang bernilai sekitar RM185 juta.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, projek yang sudah siap sepenuhnya ini dirancang rapi oleh kerajaan Sarawak melalui pihak MUT dan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak (JBALB) bagi menampung permintaan bekalan air yang semakin meningkat di kawasan berkenaan.
Katanya, ia bertujuan menambahbaik sistem bekalan air agar para penduduk di sekitar Daerah Asajaya dan Sadong Jaya menikmati kehidupan yang lebih berkualiti.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau itu menambah, skop projek tersebut merangkumi kerja-kerja seperti pembinaan tangki aras tinggi di Tambirat, Moyan Laut, Asajaya, Sadong Jaya, Semera dan Sungai Buloh, pembinaan stesen pam penggalak di Tambirat, Asajaya dan Sungai Buloh dan Pemasangan saluran paip baharu sepanjang 42.2 kilometer (km).
Dalam pada itu katanya, projek yang telah beroperasi sepenuhnya ini telah menambahbaik sistem bekalan air di kawasan-kawasan yang kerapkali mengalami kekurangan bekalan air dan tekanan air rendah pada waktu puncak di kawasan sekitar Daerah Asajaya dan Sadong Jaya sekaligus memberi signifikan impak kepada lebih kurang 83,500 penduduk di kawasan Asajaya, Sadong Jaya, Sebangan, Sebuyau dan Simunjan.
“Di samping menambahbaik sistem bekalan air sedia ada, projek ini juga telah melonjakkan taraf sosio-ekonomi masyarakat setempat dan memangkin pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan serta memberi jaminan kualiti kehidupan yang lebih baik kepada penduduk di kawasan tersebut.
“Bagi menjamin kualiti bekalan air yang lebih baik dan berterusan di Daerah Asajaya dan Sadong Jaya, JBALB Sarawak akan memastikan segala projek yang kini telah beroperasi sepenuhnya akan sentiasa berfungsi dengan baik.
“Projek yang dilaksanakan ini merupakan sebahagian daripada Sistem Grid Bekalan Air Sarawak yang diilhamkan oleh Premier Sarawak untuk menyelesaikan isu bekalan air secara efektif dan menyeluruh,” jelas beliau dalam satu sidang media selepas mengadakan lawatan kerja di kawasan Projek Air Pakej 2A pada Jumaat.
Dato Sri Julaihi seterusnya mengadakan lawatan kerja ke Tangki Aras Tinggi dan Stesen Pam Penggalak Tambirat serta Tangki Aras Tinggi Asajaya.
Lawatan kerja tersebut bertujuan untuk memantau situasi terkini pengoperasian sistem bekalan air yang telah ditambahbaik melalui pelaksanaan projek tersebut serta mengadakan sesi maklum balas bersama penduduk daerah Asajaya dan Sadong Jaya.
Turut serta dalam lawatan kerja rasmi tersebut ialah, Pengarah Bekalan Air (MUT); George Lee, Pengarah JBALB; Ir. Ts. Awang Mohammad Fadillah bersama wakil-wakil daripada pejabat Residen Beahagian Samarahan dan Pejabat Daerah Asajaya.-UKAS