KUCHING, 30 OGOS 2023 (SNN): Tadbir urus yang baik adalah sangat penting dalam memastikan kecemerlangan korporat jangka panjang dan pertumbuhan ekonomi untuk manfaat bersama ujar Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dalam teks dibacakan timbalannya Datuk Len Talif Salleh.
Katanya, bagi merealisasikan wawasan untuk mencapai nilai eksport RM8 bilion setahun yang disasarkan untuk produk berasaskan produk kayu menjelang tahun 2030, anak syarikat di bawah Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) disarankan agar mempunyai peraturan serta memperkasa tadbir urus korporat yang baik.
“Disebabkan itu adalah sangat penting untuk mengiktiraf peranan dimainkan oleh kepimpinan yang kuat dan berkesan dalam mencapai matlamat strategik utama PUSAKA,” katanya menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah Dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh semasa Hari Tadbir Urus Korporat PUSAKA 2023 di sebuah hotel terkemuka pada Selasa.
Mengulas lanjut, penjawat awam masa kini juga diharapkan mempunyai prestasi tinggi, cekap, boleh dipercayai dan amanah selain melaporkan sebarang gejala rasuah kepada pihak berkuasa yang turut menjadi tanggungjawab semua penjawat awam dan tidak hanya bergantung kepada pegawai dan juruaudit sahaja.
“Sekiranya kita gagal berbuat demikian, kita juga akan gagal untuk mencegah wabak serius ini daripada menjangkiti perkhidmatan awam, dan seterusnya turut menghalang kita untuk mewujudkan persekitaran kerja yang mengamalkan ketelusan, kelakuan beretika dan berintegriti,” ujar beliau.
Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman); Dato’ Murshid Diraja Dr Juanda Jaya, Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED); Datuk Mohd Naroden Majais, Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (JTS); Datu Abdullah Julaihi dan Pengurus Besar PUSAKA; Zainal Abidin Abdullah.-UKAS