KUCHING, 14 APRIL 2022 (SNN) : Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menyaksikan majlis penyerahan zakat Tabung Haji kepada Tabung Baitulmal Sarawak di Wisma Bapa Malaysia pada Khamis.
Penyerahan zakat berjumlah RM2,036,294 bagi tahun kewangan berakhir 2021 itu disampaikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Dato’ Sri Amrin Awaluddin kepada Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datu Misnu Taha.
Menurut Dato’ Sri Amrin, pembayaran zakat yang dilakukan oleh Lembaga Tabung Haji (TH) itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sebagai sebuah organisasi Islam yang prihatin untuk memperkasakan kewangan Islam.
Selain itu katanya, ia juga untuk pembangunan sosio-ekonomi ummah bagi manfaat golongan asnaf.
Dato’ Sri Amrin menambah, TH turut memperuntukkan RM28.8 juta bagi melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat termasuk Program Ehsan untuk memberikan bantuan kepada golongan yang memerlukan.
Turut hadir Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak, Datu Abg Mohd Shibli Abg Mohd Nailie, Pengarah Eksekutif Operasi (Tanggung Tugas), Mohamed Ameen SMA Abdul Wahab, Pengurus Besar Operasi Pejabat Cawangan, Helena Hashim, Pengarah Wilayah Sabah Dan Sarawak, Datin Nurlaila Said dan Pengarah TH Negeri Sarawak, Amat Kassim Pait.-UKAS.