KUCHING, 26 APRIL 2022 (SNN) : Penyerahan sumbangan atau penghargaan setiap kali menyambut hari perayaan mampu memupuk semangat kebersamaan antara pelbagai kaum selain bersama-sama meraikan perayaan sesama mereka.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi berkata, penyerahan sumbangan khususnya kepada kakitangan kerajaan yang mempunyai pelbagai latar belakang agama dan kaum di setiap sambutan hari perayaan mampu menjalin hubungan erat sesama mereka disamping sebagai tanda menghargai perkhidmatan yang telah diberikan.
Dalam sesi ucapan beliau juga berkesempatan menzahirkan syabas dan tahniah kepada Kelab Sukan dan Rekreasi (KESURIA) di Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT) kerana mengambil berat kebajikan kakitangan kementerian dengan memberi sedikit sumbangan khususnya setiap kali sambutan hari perayaan bakal tiba.
Beliau berkata sedemikian semasa hadir menyempurnakan majlis penyampaian sumbangan KESURIA di Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang di sini, hari ini.
Jelas beliau, diharap setiap sumbangan yang diberikan pada sambutan hari perayaan seperti itu mampu meningkatkan produktiviti para kakitangan kementerian dalam menyediakan perkhidmatan terbaik untuk rakyat.
Turut hadir sama Dato Ir Alice Jawan; SUT Kementerian MUT, Tuan Syed Fauzi Sahab Pengarah Elektrik MUT, Puan Kueh Li Li; Pemangku Pengarah Air MUT dan Tuanku Faizal Tuanku Karim; Pengerusi KESURIA.