SEBUYAU, 27 OKTOBER 2021 (SNN) : Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Datuk Julaihi Narawi berkesempatan meninjau sendiri perkembangan projek pembinaan sekolah gantian penuh Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Ladong di tapak baharu yang terletak di seberang jalan kampung Sungai Ladong.
Beliau menjelaskan, projek pembinaan bangunan gantian sekolah berkenaan sudah lama diusahakannya dan bersyukur kerana permohonan beliau telahpun diluluskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan jumlah keseluruhan dana sebanyak RM8.6 juta.
“Tapak baharu sekolah ini adalah untuk menggantikan bangunan lama yang terletak terlalu hampir dengan tebingan Sungai Batang Sadong lebih-lebih lagi struktur bangunan sekolah tersebut sekarang berdepan dengan masalah hakisan tebingan sungai yang serius. Setiap kali berlakunya fenomena air pasabg besar bangunan sekolah lama tersebut akan dinaiki air.
“Tapak bangunan baharu yang kini sedang rancak dibina dan dilaksanakan oleh pihak kontraktor Layun Enterprise Sdn Bhd dan lead consultant Arkiskape Sdn Bhd dijangkankan akan siap sepenuhnya pada 22 Ogos 2022 mengikut jadual yang telah ditetapkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak yang turut diamanahkan untuk mengawasi pembinaan bangunan baharu sekolah sehingga siap,” kata beliau semasa melakukan lawatan kerja ke tapak projek bangunan baharu SK SG Ladong baru-baru ini.
Jelasnya lagi, beliau berharap pada masa akan datang pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dapat mempertimbangkan semula untuk membina kuarters guru, bangunan pentadbiran, sebuah dewan dan padang bola sepak serta jalan raya menghubung ke sekolah berkenaan kerana fasiliti ini amat penting untuk mencapai matlamar pembinaan sekolah gantian tersebut.