KUCHING, 28 SEPTEMBER 2022 (SNN): Kejayaan pelajar-pelajar tempatan yang berjaya mengharumkan nama negara dengan memperoleh anugerah cemerlang di universiti terkemuka dunia merupakan bukti kemampuan sistem pendidikan Malaysia dalam melahirkan pelajar berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Memetik laporan Sinar Bestari, terkini, Siti Ameera Liana Ahmad Kamal, 24, yang merupakan pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan pernah mengikuti pengajian A-Level di Kolej MARA Seremban, Negeri Sembilan menerima penganugerahan ljazah Kelas Pertama Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (EEE) (Kepujian) serta pingat pencapaian pelajar cemerlang Tahun Empat kursus EEE di The University of Edinburgh, Scotland.
Menurutnya, kejayaan itu adalah susulan daripada penulisan tesis yang mengkaji penggunaan semula bateri kereta elektrik untuk aplikasi fotovoltan (PV) solar di luar grid dengan menggunakan Simulink pada MATLAB iaitu satu platform pengaturcaraan.
“Segala usaha saya membuahkan hasil apabila saya menerima gred kelas pertama untuk projek saya. Terima kasih yang tidak terhingga kepada penyelia saya, Dr Jonathan Shek atas bimbingan dan sokongan berterusan sepanjang tahun.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pemeriksa saya, Dr Paul Judge atas maklum balas dan idea yang membina serta memastikan saya sentiasa berada di landasan yang betul,” katanya menerusi hantaran di laman LinkedIn, baru-baru ini.
Dalam pada itu, dia turut berkongsi kegembiraan tersebut dan merakamkan penghargaan kepada semua yang telah menyumbang kepada kejayaannya itu.
“Selama empat tahun saya berusaha dan akhirnya ia membuahkan hasil,” ujarnya.