KUCHING, 07 JUN 2023 (SNN): Malaysia khususnya negeri Sarawak komited untuk menangani isu perubahan iklim serta impak terhadap alam sekitar dengan memperkenalkan ekonomi hijau demi mencapai matlamat masa depan negara bersih karbon menjelang tahun 2050.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak memunyai komitmen tinggi sebagai peneraju dalam tenaga boleh diperbaharui di Malaysia dan untuk mewujudkan impian itu pelbagai langkah dilakukan oleh kerajaan negeri ketika ini bagi membolehkan masa depan negara lebih hijau dan mampan untuk rakyat menjadi realiti.
“Kemahiran hijau merupakan faktor penting dalam kejayaan dan kepantasan peralihan hijau di Sarawak dan kita harus melatih peserta Sarawak serta antarabangsa mengenai tenaga hijau secepat mungkin.
“CENTEXS akan bekerjasama dengan rakan kongsi industri bagi menambahbaik kemahiran hijau yang diperlukan dalam tenaga kerja. Oleh itu, ketika ini CENTEXS menawarkan empat program latihan dalam bidang berkenaan dan sedang memabngunkan program baharu untuk golongan lepasan sekolah,” katanya ketika merasmikan Pelancaran Solar & Hydrogen Testbeds serta Simposium dan Pameran Tenaga Hijau Sarawak 2023 di CENTEXS Santubong di sini, hari ini.
Mengenai GESS 2023, Abang Jo memberitahu, objektif utama simposium ini dilaksanakan adalah bagi menunjukkan dan mempertahankan komitmen Sarawak sebagai peneraju utama dalam tenaga boleh diperbaharui di Malaysia selain mengetahui cabaran pasaran karbon di Asia serta langkah-langkah yang perlu diambil.
Difahamkan, simposium yang berlangsung selama dua hari bermula 7 hingga 8 Jun itu disertai seramai 600 peserta dari luar Sarawak dan juga Kalimantan, Indonesia.
Turut hadir sama, Timbalan Premier; Dato Sri Prof. Dr. Sim Kui Hian, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak; Datuk Julaihi Narawi, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat; Datuk Roland Sagah Wee, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar; Datuk Hj Len Talif Salleh, Pengerusi CENTEXS; Syeed Mohd Hussein Wan Abdul Rahman dan dif kenamaan lain.