KUCHING, 26 OGOS 2022 (SNN): Setiap pelajar pasti akan berdepan dengan pelbagai cabaran dan rintangan sepanjang tempoh pengajian untuk mencapai kejayaan dalam apa juga bidang yang diceburinya.
Hal itulah apa yang dilalui oleh Ammar Iskandar Nor Hisham yang kini sudah bergelar graduan Sarjana Muda dalam bidang Kejuruteraan dari The University of Manchester, England.
Memetik laporan daripada SinarHarian, perjalanan Ammar untuk berada di tahap ini amat mencabar kerana dia sering dipandang rendah dan dihina oleh sebilangan masyarakat yang tidak mempunyai kepercayaan terhadap kebolehannya.
“Tiga tahun lalu, saya dibuang, dijauhi, dan dihina. Mereka memberitahu ibu saya, saya tidak akan berjaya kerana saya mendapat B dalam Matematik. Tetapi hari ini, saya berjaya buktikan dengan menamatkan pengajian di The University of Manchester dengan Kepujian Kelas Pertama dan menerima Anugerah Stellify.
“Hari ini perasaan marah dan dendam kepada mereka yang pernah memandang rendah pada saya, sudah hilang, tetapi bohong sekiranya saya menafikan kata-kata mereka tidak menyakiti saya pada ketika itu, ” katanya menerusi satu ciapan di laman Twitter.
Dalam pada itu, Ammar turut berkongsi rahsia kejayaannya iaitu tetap berusaha dan bersemangat meneruskan pembelajaran meskipun menghadapi kesukaran.
“Apa yang boleh kita lakukan adalah bekerja keras dan abaikan cakap-cakap orang kerana universiti merupakan satu perjalanan yang jauh lebih sukar berbanding sekolah menengah. Namun, apa yang saya lakukan untuk memperoleh kejayaan pada hari ini adalah melalui disiplin dan bantuan daripada rakan-rakan,” jelasnya.
Bercerita lebih lanjut mengenai pengalamannya di negara orang, tutur anak muda ini, pada tahun pertama pengajian, dia menyewa di loteng yang hanya boleh memuatkan dua orang pada satu masa.
Ujarnya lagi, melihat akan keadaan itu, ia sememangnya bukanlah satu perkara yang mudah bagaimanapun disebabkan jadual belajar yang padat, sedikit sebanyak dapat mengurangkan masa lapang Ammar untuk berfikir perkara yang tidak berfaedah.