KABONG, 23 OKTOBER 2021 (SNN) : Seramai 94 penerima yang terdiri daripada penduduk di Daerah Kabong bakal menikmati dan memiliki kediaman yang lebih selesa menerusi Program Projek Kecil Transformasi Luar Bandar (MRP) dan Projek Penambahbaikan Rumas Miskin Sarawak (PPRMS).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd Chee Kadir berkata, kesemua 94 penerima bagi fasa tersebut telah diluluskan dari zon tengah yang mana melibatkan penduduk dari Kampung Alit, Kampung Sg Muroh, Kampung Gerigat, Kampung Sessang, Kampung Nyabor, Kampung Emplam, Pekan Roban, dan beberapa rumah panjang. Mereka ini merupakan pemohon-pemohon yang telah membuat permohonan di Pusat Khidmat DUN Kabong dan rata-rata daripadanya memohon untuk baik pulih atap rumah.
“Saya bagi pihak wakil penduduk Kabong mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) atas usaha kerajaan negeri meneruskan Program MRP dan PPRMS ini untuk membela golongan yang memerlukan bantuan membaik pulih rumah mereka,” kata beliau semasa berucap pada Majlis Simbolik Penyerahan Projek MRP PPRMS DUN Kabong di Bilik Mesyuarat Pusat Khidmat DUN Kabong pada Jumaat.
Turut hadir sama dalam majlis adalah Encik Awangku Safaie Bin Awangku Sabli; Mewakili Pegawai Daerah Kabong, Encik Justine Charles Gilbert; Jurutera MDS, Penghulu Tuan Haji Batni Bin Haji Saidon, Penghulu Tuan Haji Kamaluddin Bin Haji Rambli, Dan Penghulu Satu @ Michael Daji Anak Awi.