SIBU, 08 SEPTEMBER 2022 (SNN): Seramai 271 peserta merangkumi 13 wilayah dari Kuching hingga Lawas telah menyertai Kejohanan Silat Piala Presiden 2022.
Kejohanan berlangsung selama lima hari bermula Isnin lepas dan akan berakhir pada Jumaat ini bertempat di Stadium Tertutup Sibu.
Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Pegawai Daerah Sibu Khalid Andong, yang turut diiringi Timbalan Presiden Rumpun Silat Sarawak (RSS) merangkap Pengerusi Pengelola Kejuaraan Piala Presiden Rumpun Silat Sarawak 2022, Dato Muhamad Yusnar Matalie.
Kejohanan itu bertujuan mencungkil bakat dan pelapis baru yang boleh diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
Kategori-kategori yang dipertandingkan sepanjang lima hari adalah sekolah rendah kerajaan junior, sekolah menengah pra remaja dan dewasa.
Selain itu, terdapat juga kategori solo kreatif putra dan puteri, ganda dan tunggal baku, regu putra dan puteri yang meragkumi keseluruhan juara yang bakal dinobatkan pada majlis penutupan Jumaat seramai 35 orang.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Agung, Mohd Azfar Ismail.-UKAS.