KUCHING, 25 SEPTEMBER 2023 (SNN): Seramai 10,100 peserta dijangka akan memeriahkan Padang Merdeka, Kuching sempena sambutan Majlis Perhimpunan dan Perarakan Maulidur Rasul Peringkat Sarawak Tahun 1445H/2023M.
Menurut Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha, sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri ini akan diadakan pada 27 dan 28 September depan bermula dengan Majlis Kesyukuran dan Zikir Maulidur Rasul di Masjid Jamek.
Antara kategori yang terlibat ialah badan beruniform, jabatan kerajaan negeri dan persekutuan, badan berkanun, badan swasta (institusi kewangan, syarikat dan lain-lain), masjid dan surau, kumpulan hadrah, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), persatuan dan kelab, Intitusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, sekolah menengah dan sekolah rendah bagi murid tahun 4 hingga 6.
“Kita mula sekitar 6.30 petang, dan selepas solat Maghrib kita adakan bacaan yaasin, diikuti ceramah khas oleh Mufti Sarawak, Sahibus Samahah Datu Kipli Yassin.
“Setakat ini, kita dimaklumkan bahawa Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Zohari Tun Datuk Abang Openg akan hadir dan kita doakan semoga Tuan Yang Terutama (TYT) dan Toh Puan akan hadir bersama.
“Pada 28 September ini, kita akan adakan perhimpunan dan perarakan di Padang Merdeka, bermula jam 6.30 pagi dan pada kali ini kita terima penyertaan amat menggalakkan iaitu sebanyak 237 kontinjen,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sebelum Mesyuarat Akhir Majlis Maulidur Rasul Peringkat Sarawak sempena Sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka Tahun 1445H/2023M di Persada Majma, Pejabat Majlis Islam Sarawak, di sini pada Isnin.
Sementara itu katanya, perarakan tersebut meliputi dua kawasan perarakan iaitu kawasan kampung sekitar 4 kilometer (km) dan kawasan kedua meliputi bandar raya Kuching dengan jarak sekitar 3.7 km.-UKAS