KUCHING, 11 JANUARI 2024 (SNN): Silat Sendeng yang mula bertapak sejak abad ke-20 di negeri ini dalam kalangan masyarakat Melayu merupakan seni mempertahankan diri yang terkenal sehingga terus menarik minat penuntutnya khusus di negeri Sarawak.
Memetik daripada laporan Suara Sarawak, Seni Silat Sendeng menggabungkan tiga gaya iaitu ‘Kuntau Telok Mas’, ‘Pukulan Sendeng’, dan ‘Pukulan Tujuh Hari’ menjadikan seni bela diri ini sangat unik dan menarik minat orang ramai untuk mempelajarinya.
Sehingga kini, jumlah keahlian berdaftar di bawah Seni Silat Sendeng di seluruh negara ketika ini berjumlah lebih 2,000 orang yang rata-ratanya disertai oleh golongan muda.
Menyelusuri sejarah bertapaknya Silat Sendeng di Sarawak, seni mempertahankan diri ini mula meluaskan pengaruhnya pada tahun 2023 sebaik sahaja penubuhan Pertubuhan Seni Silat Sendeng Sarawak (PSSSS) pada 24 Februari tahun lalu.
“Langkah pertama yang diambil PSSSS adalah dengan melantik Pengurus Besar Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS), Datu Dr. Hj Sanib Bin Hj Said sebagai Penaung PSSSS.
“Pertubuhan itu dikuatkan lagi dengan pelantikan tokoh korporat terkemuka iaitu Pengiran Dato (Dr) TS. Daud Pengiran Putera sebagai Penasihat PSSSS,” kata laporan itu.
Manakala Ahli-Ahli Jawatankuasa pula adalah saudara Mohammad Nazri Bujang, Mohammad Hudzaifah Majelan, Penvian Sarip Sufie, Mohd Dzuhairy Ismaid dan Hamazimin Hamdan.
Bekas Penaung PSSSM 2014, Dato’ Paduka Dr. Abang Ariffin Abang Bohan turut memberitahu, pelbagai aktiviti dan program telah dirangka sepanjang tahun bagi memenuhi kalendar aktiviti PSSS selain dari latihan ahlinya.
Katanya, bergelanggang, persembahan dan pertunjukan silat, ceramah, lawatan dan ziarah, majlis tahlil dan zikir, sambutan hari kebesaran Islam, kursus-kursus senjata, kursus beladiri, kursus kejurulatihan, pertandingan silat serta program riadah dan ziarah antara program yang diadakan pada setiap tahun.
“Program ini diselitkan bersama dengan latihan silat sendeng yang berfungsi sebagai seni mempertahankan diri sekaligus menekankan aspek kecergasan fizikal dan mental serta memupuk sikap positif seperti disiplin diri, sabar, berlapang dada dan bersungguh-sungguh dalam setiap pekerjaan,” ujarnya lagi.
Untuk rekod, Sesi Latihan Silat Sendeng diadakan di perkarangan Bangunan AKYBMS, Kuching yang dikendalikan oleh dua jurulatih berpengalaman iaitu saudara Wan Adzman Wan Abdul Rahman dan Suhardi Bujang setiap hari Jumaat pada jam 7.30 malam hingga 9.30 malam.
Cc: Faizal Bujang|Suara Sarawak