SIBU, 24 FEBRUARI 2024: Masjid baharu di Sibujaya mampu menjadi sebuah mercu tanda baharu yang memukau dengan seni bina yangunik dan kreatif kini menjadi kebanggaan setempat dan penduduk Sibu Jaya.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (Utiliti), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, masjid baharu tersebut bukan sekadar sebagai tempat ibadah,bahkan menjadi lambang perpaduan, kemajuan dan kecantikan dalam kepelbagaian Sibu Jaya.
“Ia turut membentuk masa depan Sibu Jaya sebagai destinasi yang memukau dari segi seni bina dan keindahan spiritual,” katanya demikian ketika berucap dalam Majlis Pra Perasmian Masjid Baharu Sibu Jaya, pada Jumaat.
Tambah beliau, wujudnya masjid baharu ini akan dapat mempamerkan budaya dan cara orang Islam dalam mentadbir dan mengurus negeri.
Selain itu katanya, keunikan seni bina masjid ini mencerminkan keindahan sejati, manakala persembahan seni yang megah mencipta suasana yang mempesonakan.
Dalam pada itu, Datuk Dr Rahman Junaidi telah menyerahkan kunci masjid kepada Ahli Jawatankuasa Pengurusan Masjid.
Pada majlis sama, beliau sempat mengadakan lawatan didalam masjid tersebut sebelum mengadakan taklimat persiapan perasmian pada 1 Mac kelak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dijangka hadir bagi merasmikan dan mengumumkan nama masjid berkenaan pada 1 Mac ini.-UKAS