KUCHING, 23 NOVEMBER 2024: Kerajaan Sarawak tidak mengenakan sebarang pembayaran balik ke atas Bantuan Wang Saku yang diberikan kepada pelajar-pelajar dari negeri ini yang melanjutkan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
Berita baik tersebut diumumkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg semasa menyempurnakan Majlis Pelancaran Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030: Sorotan 2023 yang berlangsung di Wisma Bapa Malaysia, pada Jumaat.
“Wang saku sebanyak RM1,200 kita akan bagi percuma kepada pelajar untuk dua semester, bermakna mereka mempunyai lebih daripada RM100 sebulan kerana dalam semester, mereka ada cuti.
“Mereka dapat membelanjakan wang ini untuk membeli keperluan makanan dan semua ini percuma dari Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) kerana kita faham keadaan pelajar yang susah sekiranya tiada wang saku,” jelas beliau.
Tambah beliau lagi, pemberian RM1,200 ini merupakan langkah pertama Kerajaan Sarawak untuk memperkasakan bidang pendidikan di wilayah ini selain daripada inisiatif pendidikan percuma pada 2026 nanti.
“Dalam separuh kedua fasa PCDS 2030 ini iaitu bermula tahun 2026 kita akan memberikan pendidikan tinggi percuma di Universiti milik wilayah ini dan sudah semestinya ini memerlukan duit yang banyak.
“Namun, saya dapat beri jaminan, semua ini adalah dalam keupayaan kita kerana saya sudah membuat segala perkiraan,” ujar beliau.
Hadir sama ialah Timbalan-Timbalan Premier Sarawak; Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Menteri-Menteri Kabinet Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak; Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri Kabinet Sarawak, Setiausaha Kewangan Sarawak; Dato Sri Wan Lizozman Wan Omar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan); Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi); Datu Hii Chang Kee, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran); Datu Buckland Bangik, Penasihat di Pejabat Premier Sarawak; Datuk Amar Jaul Samion serta Ketua-ketua Jabatan kerajaan negeri-UKAS