SEBUYAU, 16 APRIL 2023 (SNN): Penduduk di kawasan sekitar Sebuyau akan menikmati perkhidmatan jaringan telekomunikasi yang lebih baik pabila kesemua menara telekomunikasi siap dibina dan mula beroperasi kelak.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi berkata, sebanyak sembilan menara telekomunikasi telahpun diluluskan di bawah program JENDELA Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Sarawak (SKMM) dan akan dibina di seluruh kawasan Sebuyau.
“Sembilan menara ini adalah merupakan daripada 636 menara yan berada di bawah program JENDELA bagi memberikan perkhidmatan jaringan telekomunikasi yang baik di seluruh negeri Sarawak.
“Dengan siapnya menara ini nanti penduduk di kawasan-kawasan yang dahulunya tidak atau kurang mendapat akses telekomunikasi akan menikamati kemudahan itu dengan pemasangan sistem teknologi ‘Multi-Operator Core Network’ (MOCN) di setiap menara,” katanya ketika ditemui media selepas menyaksikan kerja-kerja pembinaan menara telekomunikasi di Sebuyau pada Sabtu.
Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau itu lagi, selain menara di bawah program JENDELA, kerajaan negeri turut membuat intervensi melaui Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) dan Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) dengan meluluskan 600 menara tambahan di bawah program SMART.
Katanya, pembinaan menara tambahan itu kini masih dilaksanakan dalam pelbagai peringkat termasuklah pemasangan peralatan telekomunikasi sebelum boleh dipancarkan ke udara setelah mendapat sambungan bekalan elektrik.
Dalam masa yang sama, Pengarah SKMM Sarawak Adiman Ajem memberitahu, menara JENDELA ini perlu disiapkan terlebih dahulu sebelum peranti telekomunikasi dipasangkan dan dipancarkan ke udara.