SARIBAS, 02 DISEMBER 2024 (SNN): Parti Bangsa Bersatu Sarawak (PBB) yang merupakan salah satu komponen parti dalam menerajui Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada hari ini akan terus mempertahankan hak Sarawak berdasarkan undang-undang yang sah dan terpakai.
Naib Presiden Parti merangkap Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi menjelaskan PBB mempunyai tanggungjawab besar dan penting dalam mempertahankan hak Sarawak dan rakyatnya berlandaskan undang-undang yang masih terpakai dan sah yang mana semua pihak di Malaysia wajib menghormatinya.
Katanya, antara langkah proaktif dan sah yang telah kita lakukan adalah penguatkuasaan undang-undang Distribution Of Gas Ordinance 2016 yang membolehkan Kerajaan Sarawak melantik PETROS sebagai aggregator gas tunggal di Sarawak.
“Pada masa yang sama juga, sudah tiba masanya PBB untuk mengusulkan supaya sejarah penubuhan Malaysia dan Perjanjian Malaysia (1963) diperkenalkan sebagai mata pelajaran wajib di semua peringkat sekolah dan universiti di seluruh negara.
“Perkara ini penting kerana semua rakyat Malaysia berhak tahu sejarah penubuhan Malaysia dengan pemahaman tentang fakta serta undang-undang yang masih terpakai sehingga kini dengan lebih jelas,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan PBB N.35 Saribas, pada Ahad.
Dalam pada itu, Dato Sri Julaihi turut menegaskan PBB akan sentiasa mempertahankan perpaduan yang telah wujud sekian lama antara semua kaum dan seharusnya kita semua terus mengukuhkan perpaduan ini serta mempertahankan disiplin tinggi agar PBB dapat menjalankan tanggungjawab penting dalam Kerajaan GPS Sarawak.
Turut hadir sama ialah Timbalan Menteri Kesejahteraan Rakyat merangkap Ketua Cawangan N.35 Saribas; Datuk Haji Mohd Razi Sitam, Ahli Majlis Tertinggi PBB merangkap Ahli Parlimen Betong; Dato Dr Richard Rapu dan Temenggong Haji Piee.