LIMBANG, 13 SEPTEMBER 2022 (SNN): Kementerian Pembangunan Luar Bandar membelanjakan sejumlah RM11.36 juta bagi tujuan naik taraf dan bina baharu bangunan termasuk tabika dan taska di Sarawak pada tahun ini, kata Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Hasbi Habibollah.
Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar merangkap Ahli Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Hasbibollah berkata, dari jumlah itu sebanyak RM1.26 juta diperuntukkan bagi pembinaan dua tabika di Limbang iaitu di Imigresen Pandaruan dan Nanga Medamit.
Perbelanjaan yang besar ini adalah demi menambahbaik prasarana pendidikan awal sejajar dengan hasrat membangunkan modal insan berkualiti, seterusnya dapat melahirkan generasi pelapis pemimpin negara masa hadapan, khususnya di kawasan luar bandar.
Kementerian telah menyediakan peruntukan bagi tujuan naik taraf dan bina baru bangunan termasuk tabika dan taska dengan memperuntukkan sejumlah RM11.36 untuk Sarawak termasuk Limbang tahun ini.
Beliau berkata sedemikian ketika merasmi bangunan baharu Tabika KEMAS Kampung Patiambun, Limbang pada Isnin.
Turut hadir Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak; Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan dan Pembangunan mewakili Ketua Pengarah Kemas; Rafiah Nahar, Pegawai Daerah Limbang; Superi Awang Said dan Pengarah Kemas Sarawak; Khairudin Mohd Nasir.