More
    Home Sarawak Kuching Sebanyak 3,471 menara telekomunikasi telah berjaya dibina berbanding 7,000 yang disasarkan bagi...

    Sebanyak 3,471 menara telekomunikasi telah berjaya dibina berbanding 7,000 yang disasarkan bagi meningkatkan liputan internet di Sarawak-Julaihi

    KUCHING, 21 OKTOBER 2022 (SNN): Kerajaan Sarawak setakat ini telah berjaya membina 3,471 daripada 7,000 menara telekomunikasi yang disasarkan untuk dibina bagi meningkatkan perkhidmatan liputan internet di negeri ini.

    Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi berkata, daripada jumlah itu sebanyak 1,047 menara telekomunikasi sedang dibina ketika ini sementara usaha membina baki 2,000 lagi akan diteruskan secara berperingkat.

    “Kami menyasar untuk membina 7,000 menara telekomunikasi di seluruh negeri kerana kita mahu penyedia perkhidmatan telekomunikasi menggunakan semua menara yang ada bagi menyediakan perkhidmatan kepada semua rakyat di negeri ini.

    “Apabila kami mengatakan kami menyasar untuk membina 7,000 menara telekomunikasi, ia tidak bermakna ia boleh dilakukan dalam tempoh semalam. Ini adalah usaha yang berterusan. Semuanya berjalan seperti dirancang,” katanya pada sidang media selepas melancarkan pusat sumber digital dikenali Pustaka@SarawakEnergy di Menara Sarawak Energy, semalam.

    Sekitar Majlis Pelancaran Pustaka@SarawakEnergy yang disempurnakan oleh Datuk Julaihi di menara Sarawak Energy, semalam.

    Menurut Julaihi, segelintir pengguna perkhidmatan telekomunikasi tidak peka mengenai peralihan perkhidmatan Internet daripada 3G kepada 4G kerana kita dalam proses menamatkan semua perkhidmatan 3G.

    “Untuk menikmati perkhidmatan 4G, pengguna perlu menukar kad SIM mereka. Setahu saya, penyedia perkhidmatan telekomunikasi ada mengingatkan pengguna masing-masing agar mengemas kini kad SIM mereka,” katanya.

    Terdahulu ketika menyampaikan ucapan perasmiannya, Julaihi berkata baru-baru ini beliau telah mengadakan lawatan kerja ke Long Busang, sebuah kawasan pedalaman di ulu Belaga dan berpeluang menguji liputan Internet di situ.

    “Kami mencuba sedaya upaya untuk mendapat liputan (Internet) di kawasan Long Busang, tidak kira perkhidmatan disediakan oleh penyedia atau Sarawak Net, semuanya tidak ada.

    “Tetapi apabila saya bangun pada jam 2 pagi, saya dapat mengakses kepada Sarawak Net dengan mudah, mungkin ketika itu tidak ada orang menggunakan Internet,” jelasnya.

    Julaihi memberitahu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) turut memaklumkan dalam masa terdekat ini merancang akan membina sebuah menara telekomunikasi di Long Busang.

    Di kawasan terpencil seperti Long Busang, Julaihi berkata pihak berkuasa akan membangunkan Rangkaian Teras Operator Pelbagai (MOCN) untuk menambah baik kesalinghubungan Internet.

    Beliau berkata dengan adanya MOCN, jika pengguna perkhidmatan CELCOM tidak dapat mengakses Internet, jika ada liputan perkhidmatan MAXIS, rangkaian telekomunikasi akan beralih ke MAXIS.

    Setakat ini, sebanyak 300 menara telekomunikasi di negeri ini telah dilengkapi dengan MOCN untuk membolehkan penduduk luar bandar mendapat liputan Internet dengan lebih baik.

    Leave A Reply

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    Must Read

    Pengiktirafan Bank Dunia bukti dasar pembangunan Kerajaan Sarawak di landasan yang...

    0
    SARATOK, 17 NOVEMBER 2024 (SNN): Dasar pembangunan Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) oleh Bank Dunia tahun lepas membuktikan kerajaan negeri...