MIRI, 17 NOVEMBER 2022 (SNN): Kerajaan Sarawak di bawah pelaksanaan Projek Rakyat telah melaksanakan sebanyak 297 projek bekalan air bagi mengatasi isu berkaitan bekalan air kritikal di seluruh negeri.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi berkata, daripada jumlah berkenaan sebanyak 69 lagi projek bekalan air jangka pendek masih dalam peringkat pembinaan manakala sembilan lagi dalam fasa perancangan.
“Pelaksanaan Projek Rakyat ini adalah merupakan pelan tindakan segera Kerajaan Sarawak dalam menangani isu bekalan air di beberapa kawasan yang kita boleh kaeegorikan sebagai ‘stressed areas’.
“Atas inisiatif kerajaan negeri dalam usaha menyelesaikan isu bekalan air, Premier Sarawak telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM4 bilion untuk melaksanakan kesemua 297 ini yang mana membabitkan pelaksanaan sumber air mentah, loji rawatan, sistem agihan, kerja baikpulih serta Projek SAWAS,” katanya ketika merasmikan Projek Bekalan Air Kampung Lajong dan Rumah Maling di Subis, semalam.
Tambah Julaihi, dengan siapnya sebahagian Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Suai Kompleks Fasa ii ini akan memberi manfaat kepada lebih kurang 600 pendududuk di kedua-dua kampung terlibat.
“Bagi menjamin kualiti air yang lebih mampan di Bahagian Miri termasuk Daerah Subis, JBALB Sarawak akan memastikan projek-projek yang kini dalam peringkat pelaksanaan akan disiapkan dalam waktu yang telah dijadualkan.
“Salah satunya yang telah siap adalah penyambungan komponen saluran paip baharu sepanjang 14.456 Kilometer ke Kampung Lajong dan Rumah Maling dengan kos sebanyak RM4.14 juta yang ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan persekutuan,” jelasnya lagi.
Turut hadir sama adalah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti; Datuk Rosey Yunus dan calon GPS Parlimen Sibuti; Lukanisman Awang Sauni.