SIMUNJAN, 10 MAC 2025: Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee telah menyerahkan cek dana sebanyak RM49,000 bagi aktiviti tahunan masjid dan surau di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simunjan dalam satu program Ziarah Ramadan dan Majlis Berbuka Puasa yang berlangsung pada Ahad.
Menurut Rodiyah, dana tersebut akan disalurkan kepada sembilan buah masjid dan 11 buah surau di konstituensi DUN Simunjan untuk menyokong pelbagai program dan aktiviti keagamaan sepanjang tahun.
Program yang diadakan di Masjid Darul Taqwa, Kampung Sungai Apin itu bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat setempat serta memberikan sokongan kepada aktiviti keagamaan dan kebajikan di kawasan tersebut.
“Sumbangan ini adalah sebagai tanda sokongan kepada pengurusan masjid dan surau serta sebagai usaha untuk memperkukuhkan pelaksanaan aktiviti keagamaan dan kebajikan di kawasan kita.
“Program seperti ini juga merupakan peluang terbaik untuk kita mendekati rakyat dan berbuka puasa bersama mereka dalam semangat Ramadan yang penuh keberkatan,” katanya ketika berucap dalam majlis tersebut.
Selain penyerahan cek dana, majlis berbuka puasa turut dihadiri oleh lebih 150 penduduk dari Kampung Sungai Apin dan kampung sekitarnya.
Para hadirin juga berpeluang mendengar tazkirah daripada Penolong Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Kecil Sadong Jaya, Ustaz Abdullah Sam Yusup yang menjelaskan kelebihan dan keberkatan bulan Ramadan serta bagaimana umat Islam memanfaatkan bulan yang mulia ini dengan amalan yang lebih baik.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif keagamaan, Rodiyah bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris turut menyampaikan sebanyak 170 pek bubur lambuk dan 50 bakul makanan daripada Baitumal Cawangan Samarahan kepada golongan asnaf dan keluarga kurang berkemampuan.
Rodiyah dalam majlis yang sama turut menyampaikan sumbangan barangan kepada pihak Masjid Darul Taqwa Kampung Sungai Apin berupa dua kotak kurma, 20 naskah Al-Quran, 20 naskah Surah Yasin serta 20 helai sejadah.
Kedua-duanya berharap program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memperkukuhkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat setempat khususnya dalam bulan Ramadan yang mulia ini.
Program Ziarah Ramadan dan Majlis Berbuka Puasa ini merupakan sebahagian daripada siri jelajah yang diteruskan oleh Awla ke beberapa masjid lain di kawasan DUN Simunjan.
Untuk rekod, Masjid Darul Taqwa, Kampung Sungai Apin adalah lokasi kedua, selepas lokasi pertama diadakan di Masjid Darul Rahman Kampung Rangawan, Sadong Jaya dalam Program Ziarah Ramadan Dan Majlis Berbuka Puasa Bersama ADUN Simunjan yang kemudiannya diikuti Masjid Darul Hijrah, Daerah Simunjan pada 15 Mac 2025 dan berakhir di Masjid Al-Ansari, Kampung Kelka pada 16 Mac 2025.
Hadir sama memeriahkan program tersebut adalah isteri Awla; Napsiah Abang Kaderi, Ketua Kaum Kampung Sungai Apin; Mahdi Nasawi, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Masjid Darul Taqwa, Kampung Sungai Apin; Suhaili Lasalem serta Pengerusi-pengerusi jawatankuasa masjid dan surau-UKAS