KUCHING, 30 APRIL 2023 (SNN): Sebanyak 125 menara komunikasi pintar akan beroperasi sepenuhnya di seluruh Sarawak menjelang Jun ini.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Julaihi Narawi berkata, setakat 22 April yang lalu, sebanyak 70 daripada 600 menara sudah dilengkapi dengan peralatan teknologi perkongsian pemancar Multi Operator Core Network (MOCN).
Manakala, sebanyak 55 menara lagi akan dipasang dengan peralatan sama dalam tempoh sebulan bagi membolehkan kebanyakan kawasan memperoleh liputan komunikasi dan jaringan internet secepat mungkin.
“Proses ini masih berjalan sekarang dan pada masa sama, apa yang dilaksana oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) misalnya melalui program Jalinan Digital Negara (JENDELA), juga masih berjalan.
“Jadi kita berharap kita akan dapat menyediakan liputan secara menyeluruh untuk seluruh negeri ini dalam masa yang terdekat,” katanya ketika ditemui media semasa Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Sabtu.
Menjelas lanjut, Datuk Julaihi memberitahu, Sarawak memerlukan sebanyak 7,000 menara komunikasi untuk dibina di seluruh negeri ini.
Menurutnya, sehingga kini, lebih 3,500 menara sudah dibina dan kementeriannya akan sentiasa mempertingkat dan menaik taraf menara-menara tersebut sehingga kadar liputan internet menyeluruh di Sarawak.
Turut meluangkan masa hadir di majlis tersebut ialah Timbalan Premier Sarawak; Dato Sri Profesor Dr Sim Kui Hian serta isteri, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi; Datuk Liwan Lagang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu; Johnny Pang Leong Ming, ADUN Kota Sentosa; Wilfred Yap Yau Sin, ADUN Murum; Kennedy Chukpai Ugon, ADUN Baleh; Nicholas Kudi Jantai Maseng, ADUN Pelagus; Wilson Nyabong Ijang dan Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi; Jafri Lias.-UKAS.