SEOUL, 13 NOVEMBER 2023 (SNN): Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Seri Julaihi Narawi mengetuai rombongan Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi bersama Sarawak Digital Economic Corporation (SDEC) ke Korea Selatan bagi mengadakan perjumpaan dan perbincangan dengan Global Digital Innovation Network Korea (GDIN) mengenai perkara berkaitan digital dan inovasi serta kerjasama global.
Beliau dalam kenyataannya memberitahu, dengan kunjungan yang dibuat tersebut diharap dapat menjalin kerjasama dengan GDIN melalui SDEC dalam mempercepatkan proses penerimaan digitalisasi Sarawak dengan memanfaatkan kekuatan dan kepakaran masing-masing dalam pelbagai bidang ekonomi.
Katanya lagi, Kerajaan Sarawak juga bersedia untuk memanfaatkan kaedah yang digunakan oleh Korea Selatan dalam membangunkan ekosistem permulaan mereka yang dilihat mampu menjana impak besar bukan sahaja dalam pasaran domestik bahkan hingga ke peringkat antarabangsa.
Dalam pada itu, ketibaan rombongan berkenaan di pejabat GDIN telah disambut oleh Presiden dan CEO GDIN, Jongkap Kim serta Pengarah Urusan yang kemudiannya menyampaikan taklimat yang membincangkan hala tuju serta jalinan kerjasama antara dua pihak.
Turut hadir sama dalam rombongan adalah Timbalan Menteri MUT (Komunikasi); Datuk Liwan Lagang, Pengerusi SDEC; Tan Sri Mohd Morshidi Gani dan CEO SDEC; Sudarnoto Osman.