KUCHING, 18 NOVEMBER 2023: Pencapaian Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) sejak 15 tahun lalu terbukti memberikan sumbangan besar kepada pembangunan negeri ini, sekaligus disifatkan sebagai model pembangunan mampan di Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, SCORE telah menarik pelaburan strategik dari sektor swasta dan awam dalam pelbagai industri, terutama pada bidang tenaga boleh diperbaharui.
Pada masa sama menurutnya, SCORE juga berjaya menciptakan peluang pekerjaan dan perniagaan baru, terutama untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
“SCORE telah membangunkan kawasan-kawasan di Sarawak yang sebelum ini terpinggir, melalui peningkatan infrastruktur dan pembangunan pusat-pusat seperti Taman Perindustrian Samalaju.
“Hab tenaga ini telah menerima lebih separuh daripada semua pelaburan yang diperuntukkan kepada SCORE, yang membuktikan minat global terhadap bekalan tenaga boleh diperbaharui yang banyak ditawarkan oleh SCORE kepada pelbagai industri,”kata beliau ketika berucap menyempurnakan Majlis Makan Malam Gala Ulang Tahun SCORE yang Ke-15, di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), pada Jumaat.
Dalam pada itu, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) turut menekankan komitmen kerajaan Sarawak untuk terus menjalin kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dan pihak lain yang berkepentingan, dalam usaha mempercepatkan pembangunan SCORE.
Justeru, beliau meletakkan harapan agar SCORE terus menjadi lokomotif pembangunan Sarawak, menjana pertumbuhan ekonomi yang mantap, seterusnya memberi manfaat kepada rakyat Sarawak secara keseluruhan.
Hadir sama meraikan ulang tahun SCORE itu ialah isteri Premier Sarawak; Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Timbalan Premier Sarawak; Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak; Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Kanan Kerja Raya Malaysia; Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Dato’ Sri Nancy Shukri, Menteri Perpaduan Negara; Dato Sri Aaron Ago Dagang, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wiayah Sarawak; Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Ketua Pegawai Eksekutif RECODA; Datu Ismawi Ismuni, Mantan Timbalan Ketua Menteri Sarawak; Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Alfred Jabu Numpang serta dif-dif kenamaan yang lain.-UKAS