KUCHING, 09 JULAI 2024: Sayap Belia 1828 Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan ditubuhkan secara rasmi pada Konvensyen PBB 2025 iaitu pada suku pertama tahun hadapan.
Premier Sarawak merangkap Yang Dipertua Parti PBB, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, penubuhan sayap baharu PBB itu bakal dianggotai oleh individu yang berumur 18 hingga 28 tahun.
Menurutnya, setakat ini, jawatankuasa bagi konvensyen tersebut telah dilantik yang dipengerusikan oleh Timbalan Yang Dipertua Parti PBB, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
“Beliau bersama-sama dengan rakan-rakan akan menyelaraskan mesyuarat agung kita daripada ranting cawangan sehingga konvensyen kelak,” katanya.
Datuk Patinggi Abang Zohari berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi Parti PBB di ibu pejabat parti itu di Jalan Bako, pada Sabtu.
Sebelum ini, PBB telah meluluskan mengenai beberapa pindaan terhadap perlembagaan parti itu yang antara lain adalah mewujudkan sayap baharu bagi golongan belia.-UKAS