KUCHING, 08 FEBRUARI 2025: Kerajaan Sarawak bakal mewujudkan pangkalan data lengkap mengenai kepelbagaian biodiversiti di negeri ini bagi mengukuhkan pemuliharaan dan penerokaan sumber biodiversiti secara mampan.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, usaha ini akan dilaksanakan oleh Sarawak Information Systems (SAINS) dengan matlamat mengumpulkan serta menyelaraskan semua data berkaitan biodiversiti.
“Saya telah meminta Tan Sri George Chan (Pengerusi SAINS) untuk meneliti kemungkinan menyatukan semua data biodiversiti planet di bawah satu pangkalan data kerana kita merupakan pusat biodiversiti dunia, terutamanya hutan hujan tropika dan kita akan menyatukannya menerusi teknologi kecerdasan buatan (AI).
“Selain itu, kita juga akan berkongsi ekonomi sumber biodiversiti dengan dunia,” katanya ketika berucap semasa Majlis Makan Malam Sambutan Tahun Baharu Cina 2025 Sarawak Multimedia Authority (SMA), pada Jumaat.
Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, pangkalan data ini juga akan menjadi sumber berharga yang boleh diakses oleh pihak luar namun akses tersebut tidak akan diberikan secara percuma.
“Apabila ia dimuat turun, ia tidak percuma. Ini bermakna, jika berbilion orang di seluruh dunia mengaksesnya, kita juga perlu mendaftarkan paten serta hak ke atas sumber biodiversiti kita,” jelasnya.
Hadir sama dalam majlis itu ialah, Timbalan Premier Sarawak; Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Menteri Pengangkutan Sarawak; Dato Sri Lee Kim Shin, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak; Dato Sri Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak; Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Ahli Lembaga Pengarah SMA; Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam, Pengurus Besar SMA; Dato Dr Anderson Tiong Ing Heng serta tetamu jemputan lain-UKAS